Zahid akan pilih tarikh, masa soal siasat seterusnya


Christopher Rabin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan pejabat SPRM di Putrajaya selepas disoal siasat lapan jam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi akan kembali ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk soal siasat lanjut berkaitan dakwaan penyelewengan melibatkan yayasan kendaliannya.

Presiden Umno yang menghabiskan masa lapan jam disoal SPRM hari ini keluar pada jam 5.30 petang dan memberitahu wartawan yang beliau akan kembali untuk soal siasat susulan.

“Saya akan pilih tarikh dan masanya,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Anak perempuan Zahid, Nurulhidayah juga berada di SPRM hari ini tetapi menafikan beliau disiasat.

Presiden Umno itu bagaimanapun tidak memberikan maklum balas ketika ditanya mengenai anak perempuannya.

Beliau bagaimanapun memberitahu wartawan yang beliau tidak merasakan apa-apa kerana disiasat hampir lapan jam kerana ia berlaku dalam waktu bekerja.

Julai lalu, Zahid turut memberikan keterangan kepada SPRM.

Ini adalah kunjungan ketiganya ke agensi anti korupsi negara itu. – 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen