Sarawak jumpa dokumen sokong tuntutan Perjanjian Malaysia 1963


Desmond Davidson

PASUKAN Sarawak yang dihantar ke London untuk mencari dokumen sejarah bagi menyokong permintaannya mendapatkan lebih kehormatan dan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menemui dokumen sokongan terhadap tuntutannya yang Akta Pentas Benua 1966 tidak sah.

Ketua pasukan itu, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dokumen itu “mengesahkan hak pemilikan negeri itu terhadap sumber asli di dasar laut dan dasar tanah dalam sempadan negeri seperti ditakrifkan perintah itu dalam majlis”.

Dokumen itu memperincikan alasan dan objektif dalam merangka Perintah Sarawak (Pengubahsuaian Sempadan) 1954 oleh ratu majlis itu, bagi menentukan sempadan tanah, laut dan had benua Sarawak sebelum Hari Malaysia, katanya.

Sarawak selama ini mempertikaikan akta itu kerana ia mengubah sempadan laut negeri – bercanggah dengan perjanjian dalam MA63 – daripada (19.3km) dari pantai hingga hanya 4.83km.

Akta itu juga melucutkan Sarawak daripada 200 batu zon ekonomi eksklusif Sarawak (EEZ).

Ini membawa kepada tuduhan yang Putrajaya meluluskan undang-undang itu untuk merampas sumber minyak dan gas negeri yang kebanyakannya ditemui melebih had 4.83km.

Dalam satu kenyataan selepas pasukan itu memberi taklimat kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg petang tadi, Hasidah berkata dokumen lain yang ditemui akan menambah kekuatan kepada kedudukan negeri dalam perbincangan dengan kerajaan persekutuan berhubung penurunan kuasa dan ke arah resolusi pelbagai perkara perlembagaan.

Beliau berkata sesetengah dokumen itu “asalnya dari Sarawak sebelum Hari Malaysia tetapi diklasifikasikan rahsia atau sulit oleh pentadbiran kolonial”.

“Dokumen ini diubah status oleh kerajaan United Kingdom dan disimpan di Arkib Negara Britain.”

Antara dokumen yang ditemui pasukan itu berkenaan pembentukan Malaysia termasuk minit mesyuarat jawatankuasa antara kerajaan (IGC) yang membawa kepada penerbitan laporan IGC.

Mereka juga menemui kertas Kabinet kerajaan British berkaitan laporan Suruhanjaya Cobbold dan pandangannya dalam memberikan Sarawak kemerdekaan berhubung pembentukan persekutuan baharu Malaysia.

Dokumen itu ditemui di Arkib Negara British dan Perpustakaan Komanwel serta arkib di Marlborough House di London.

“Kerajaan negeri sedang mengkaji dokumen itu untuk memastikan asas syor terkandung dalam laporan IGC terhadap perlindungan perlembagaan untuk Sarawak dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan cuba mendapatkan fail dan dokumen sulit terdahulu yang dibawa dari Sarawak untuk diletakkan di bawah jagaan kerajaan UK sebelum Hari Malaysia, terutama berkaitan pemberian konsesi perlombongan, pendapatan dan perkara kewangan, kawalan perkapalan dan perikanan di perairan Sarawak, pentadbiran pendidikan, buruh dan kesihatan awam.

Sarawak dan Sabah membentuk jawatankuasa pemandu, dipengerusikan bersama Menteri Luar Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, bagi merangka kedudukan dua negeri Borneo itu dalam perbincangan mengenai penurunan kuasa.

Anifah mewakili Sabah sementara Nancy untuk Sarawak.

Mesyuarat terakhir jawatankuasa itu pada 25 Julai membincangkan mengenai laporan jawatankuasa teknikal berhubung penurunan kuasa. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen