CALON Bebas Stevie Chan Keng Leong bebas untuk membuat laporan polis kerana kempen Pakatan Rakyat tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan, kata Anwar Ibrahim.
Calon Pakatan Harapan itu berkata segala pengumumannya, termasuk projek bertaraf lima bintang, tuisyen percuma, dan program latihan penerbangan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.
Anwar juga mempersoalkan sekiranya beliau tidak boleh membantu warga Port Dickson dan menyarankan Chan mengambil tindakan sama untuk menyatakan rancangan untuk membantu penduduk di situ.
“Tidak ada kena mengena kerajaan, dia (Chan) buatlah laporan apa pun… Dia patut terang apa dia nak buat untuk Port Dickson, apa kita tak boleh tolong orang Port Dickson?” kata Anwar.
Anwar berkata demikian ketika ditanya pemberita di Port Dickson apabila ditanya mengenai laporan polis dibuat calon Bebas itu yang mendakwa pengumumannya merupakan sogokan kepada pengundi.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada kira-kira jam 12 tengah hari.
Dengan memaklumkan kepada pengundi tentang program dan projek yang diperoleh dan menaja program tuisyen dalam talian kepada pelajar dari Port Dickson secara percuma, kami percaya bahawa Anwar telah melanggar Seksyen 10 (a) dan (b) Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954 yang berkaitan dengan penyogokan,” kata Chan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, minggu lepas dilaporkan berkata agensi itu tidak berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa kes pelanggaran undang-undang pilihan raya.
Beliau sehubungan itu menyeru sesiapa yang telah menyaksikan pelanggaran undang-undang pilihan raya semasa PRK Port Dickson untuk membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Azhar juga semalam menegur kempen PH dan berkata tidak adil sekiranya hanya Anwar dibenarkan masuk berkempen di kem tentera di Port Dickson.
Bersih 2.0 juga menyatakan peringatan agar Pakatan Harapan tidak melanggar peraturan kempen.
Calon lain pula mendesak untuk diberi akses sama agar dapat menemui anggota tentera di kem dan juga menemui jemaah di masjid.
Susulan peringatan itu, Anwar berkata, SPR dan Bersih berhak menasihati calon mengenai peraturan pilihan raya namun mereka tidak harus keterlaluan.
Katanya, kempen PH dijalankan mengikut peraturan untuk pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson jadi mereka tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
“Kita buat ikut law, peraturan, respect Bersih dan SPR, dan oleh demikian tak boleh salah guna (jentera kerajaan). Tapi janganlah lebih-lebih sangat,” kata Anwar.
Turut bertanding dalam PRK itu adalah PAS, yang meletakkan calon veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad juga bertanding atas tiket Bebas.
Selain itu, calon Bebas lain termasuklah, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.
PRK Parlimen Port Dickson dijadualkan berlangsung 13 Oktober depan dan pengundian awal akan berlangsung pada 9 Oktober. – 8 Oktober, 2018.
Komen