Calon Bebas lapor polis, dakwa Anwar sogok pengundi


Mohd Farhan Darwis

Tawaran diberikan Anwar Ibrahim untuk penduduk Port Dickson meliputi tiga projek dan sebuah program tuisyen percuma boleh dianggap sogok pengundi, kata calon Bebas Steview Chan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

SEORANG calon Bebas membuat laporan polis ke atas kempen Anwar Ibrahim yang didakwa menyogok pengundi dengan mengumumkan projek dan memberi hadiah kepada pengundi.

Stevie Chan Keng Leong dalam laporannya menyenaraikan tiga projek, dan satu program tuisyen percuma yang diumumkan Anwar semasa kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

“Laporan polis ini dibuat oleh saya kerana saya melihat budaya memberi hadiah dan janji-janji manis yang membelenggu pilihan raya kita selama bertahun-tahun masih berterusan. 

“Kita mesti berdiri teguh dalam memastikan Malaysia Baru yang dikecapi pada 9 Mei kekal bersih dan bebas daripada cara politik lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam laporannya, Chan antara lain mengadu mengenai projek pelancongan lima bintang, program latihan penerbangan dan program pendidikan yang diumumkan Anwar. 

Selain itu, Anwar juga mengumumkan akan menaja program tuisyen dalam talian kepada pelajar dari Port Dickson secara percuma, kata Chan 

“Kami percaya bahawa Anwar telah melanggar Seksyen 10 (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berkaitan dengan penyogokan,” katanya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Chan membuat laporan itu susulan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun semalam bahawa agensi itu tidak berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa kes pelanggaran undang-undang pilihan raya.

Azhar berkata, individu yang telah menyaksikan pelanggaran undang-undang pilihan raya semasa PRK Port Dickson perlu membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azhar juga semalam menegur kempen PH dan berkata tidak adil sekiranya hanya Anwar dibenarkan masuk berkempen di kem tentera di Port Dickson.

Ia susulan desakan calon Bebas dan juga dari PAS untuk diberi akses sama agar dapat menemui anggota tentera di kem dan juga menemui jemaah di masjid.

Dalam PRK ini, PAS menawarkan veteran leftenan kolonel TUDM, Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon.

Selain itu, adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan juga bertanding Bebas.

Dua lagi calon Bebas adalah Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen. – 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen