Sarung bantal penawar derita kanak-kanak kanser


Nabihah Hamid

Lebih 1,000 sarung bantal akan diagihkan untuk kanak-kanak penghidap kanser menerusi program Kusarungkan Kasih. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

HADIAH sarung bantal mungkin tiada makna apa-apa bagi banyak orang tetapi tidak pada kanak-kanak mengidap kanser yang ditahan untuk rawatan bagi jangka masa yang lama di hospital.

Sarung bantal berwarna-warni mampu menambah ceria dalam hidup mereka yang derita, membuatkan mereka tersenyum dan lupa seketika kesakitan ditanggung.

Itulah yang dilakukan Persatuan Kebajikan Kusarungkan Kasih Selangor sejak lima tahun lalu, menceriakan wad kanak-kanak dengan hadiah sarung bantal, khusus untuk mereka yang dirawat lama di wad.

“Memang dari pertama kali kita hantar (sarung bantal) ke hospital itu, kita boleh nampak mereka yang terima ini nampak ceria,” kata pengasasnya Dr Kharmila Abdullah kepada The Malaysian Insight.

Pensyarah perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata kalau bukan buah tangan pun, kehadiran pelawat yang sudi datang berbual pun sudah cukup menggembirakan mereka yang dirawat di hospital.

“Ada masa yang singkat kita pergi bercakap dengan dia. Dan kadang-kadang boleh beri harapan pada mereka,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di sebuah studio jahitan di Putrajaya baru-baru ini.  

“Bendanya nampak kecil tapi ia mampu membuatkan mereka tersenyum. Bila terima sarung bantal itu, mereka terus tukar dan sarungkan,” kata Safiah Mokhtar, seorang guru sekolah yang jadi sukarelawan projek kerana minatnya pada kanak-kanak.

Sarung bantal berwarna-warni mampu menambah ceria dalam hidup kanak-kanak yang derita, membuatkan mereka tersenyum dan lupa seketika kesakitan ditanggung. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

Dr Kharmila berkata projek ini bukan saja dibantu 20 sukarelawan untuk menjahit sarung bantal secara konsisten, tetapi penderma daripada seluruh negara.

“Alhamdulillah, selain daripada sukarelawan yang jahit, kita terima yang pos dari luar Kuala Lumpur juga. Ada yang derma sarung bantal. Ada derma kain juga. 

“Setiap tahun hampir 1,200 akan kita perolehi,” katanya.

Setiap sehelai sarung bantal itu ibarat harapan bagi pesakit yang tidak boleh ke mana tetapi hanya duduk di hospital, katanya.

Sarung bantal itu sebelum ini diagihkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuantan. Menjelang November, projek itu akan menjangkau ke beberapa lagi hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang dan negeri lain antaranya Johor dan Kelantan.

Projek diasaskan sejak 2012 ini turut menarik perhatian Sabrina Tan, pensyarah jurusan fesyen yang mahu membuat projek seumpamanya bagi menggalakkan pelajarnya beramal. 

“Saya lihat projek ini sangat bermakna dan ia sangat mudah dilakukan. Saya harap dapat kembangkan projek amal ini kepada pelajar saya. 

“Mereka boleh belajar menjahit sambil menderma,” kata tenaga pengajar di Saito University College itu. – 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen