Seni One Two Jaga yang dikecewakan


Haris Hauzah

One Two Jaga yang muncul dalam era Malaysia Baharu tampil dengan semangat dan keberanian yang berjaga-jaga, malangnya tak kesampaian. – Gambar fail, 7 Oktober, 2018.

PERNAH seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dahulu menyebut Malaysia tidak akan menyertai Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 ataupun protokol 1967.

“Yang ada sekarang sudah cukup,” katanya.

Pendirian Malaysia yang enggan menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian dan hak pendatang itu disebut dalam Dewan Rakyat pada 12 Mac 2015. Pada tahun itulah filem One Two Jaga direncana dan dikembangkan; datang dengan semangat untuk menjadi sebuah naskah seni yang berani dan melawan sejenis pemerasan yang banyak melakukan penindasan.

One Two Jaga yang muncul di panggung tiga tahun kemudian, hampir-hampir menjadi sebuah adikarya. Ia meruntuhkan status quo filem-filem lunak penuh lemak yang sering bersusun di panggung, mengira jutaan untung melalui kisah cinta, lawak dan dakwah seram.

Semangat dan keberaniannya mahu tampil sebagai sebuah filem marhaen yang melawan — sebaris filem Biutiful atau Pride and Glory — tidak kesampaian.

One Two Jaga tenggelam akibat idelogi dan pemikiran daripada semangat asalnya yang tidak dapat lepas bebas daripada belenggu sistem penindasan yang ia sendiri suluhkan sebagai subjek penceritaan.  

One Two Jaga adalah suatu konflik peristiwa mudah yang menghampiri sebuah kesempurnaan. Konflik yang dibangunkan sedari awal wajah Hussein terdera muncul di layar, menjadi hipotesis kepada babak pembukaan penceritaan yang cukup menyelerakan.

One Two Jaga berhasil apabila berjaya menjadi sebuah filem yang mengangkat tema hak asasi manusia. Ya, memang tidak mudah untuk menggarap sebuah karya filem kemanusiaan.

Akan tetapi apa yang harus lebih merungsingkan ialah bagaimana untuk menghasilkannya agar menjadi sebuah filem yang tidak semudahnya dilupakan.

Zahiril Adzim yang membawa watak Hussein muncul di awal cerita dengan petanda filem ini membawa sesuatu yang gah, tetapi kebobrokan wataknya memberi kesan kepada semangat cerita. – Gambar fail, 7 Oktober, 2018.

One Two Jaga walau hanya nyaris sampai ke garis kesempurnaan ternyata masih berjaya muncul sebagai sebuah filem penting Malaysia yang tidak mudah akan sesiapa lupakan.

Ia tidak ketara kekurangan dari aspek pendekatan naratif. Naratif jungkir balik yang mengetengahkan watak sebagai pemula dalam menggerakkan plot pada cerita adalah suatu idea yang mampu menimbulkan tanda tanya yang meresahkan. Selirat pada plot dan subplotnya disusun cantik melalui kehebatan kerja suntingan.

Malah amat sempurna hingga menjadikan rentak filem ini bergerak dalam tempo yang penuh dengan dentuman debar dan gesekan kedukaan. Kelebihan itu telah menjadikan naratifnya berhubung langsung dengan penonton yang menyaksikan.

Tanpa memberikan banyak informasi latar belakang bagi setiap watak yang ada, One Two Jaga mengheret penonton terjun ke lembah tandus berpasir penuh kerikil. Simen konkrit, kayu basah, lopak kotor dan hutan lalang adalah semiotik penceritaan. One Two Jaga membawa penonton ke suatu dunia sempit dan sesak yang sarat dengan watak-watak bermasalah. Elemen sempit dan kasar inilah yang menjadikan filem ini menggugah.

Semua wataknya dimangsakan oleh kebobrokan sistem hidup sehingga watak-watak itu perlu memberi dan menerima sogokan dan rasuah.

Latar cerita dan watak yang terdera dengan kesempitan, adalah refleksi perlambangan naratif visual yang amat memberikan impak. Keganasan dan kekerasan pada visual yang menceritakan derita survival Sumiyati dan Sugiman sebagai imigran diisi pada sepanjang jalan penceritaan yang penuh berat dengan kesan kejiwaan. Kedua-dua karektor penting ini berhasil menjadi premis penceritaan yang membangunkan perasaan resah dan keterujaan.

Watak Adi dan Joko adalah katalis kepada kebangkitan yang terbangun atas semangat melawan. Joko adalah hasil mimesis kepada persekitaran dan watak persekelilingan yang jadi sandaran rujukan.

Mereka kerap membicarakan soal kehidupan dalam bahasa penuh falsafah. Adi dan Joko dilemparkan ke tengah naratif sebagai suara pemberontakan yang berani melawan, menentang ekosistem kehidupan yang telah lama jadi gergasi penindasan.

Nam Ron bijak mengurus karektor Hussein dan Hassan. Dua karektor yang saling memendam dan menikam dalam tenang.

Pak Sarip, ketua polis, James dan Dato’ yang dilakonkan sendiri oleh Nam Ron, adalah refleksi kepada sistem jengkel yang menuntut manusia untuk menuruti sistem hidup. Malah hal ini diketarakan melalui perwatakan isteri Hassan yang tak sudah-sudah melakukan desakan yang bukan-bukan.

Sugiman dan Sumiyati yang cemerlang dilakonkan bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail mewakili kisah imigran tertindas di Malaysia. – Gambar fail, 7 Oktober, 2018.

Pierre Joseph Proudhon seorang anarkis yang mengasasi teori falsafah mutualis menjelaskan bahawa hak asasi manusia adalah hak-hak untuk kebebasan, kesamarataan dan peribadi yang didaulatkan. Dia seterusnya menerangkan bahawa hak-hak dalam sistem hidup kapitalis telah memaksakan perubahan pola pemikiran sehingga manusia tidak menyedari tentang berlakunya penindasan yang meragut banyak hak kemanusiaan. Lalu manusia hanya berfikir tentang hubungan sesama individu tanpa toleransi sehingga menyebabkan berlakunya ketidaksamaan.

Inilah intipati One Two Jaga yang mahu disampaikan.

Sifat keras melawan filem ini telah dijejaskan oleh cara bagaimana penghujungnya dilaksanakan. Peristiwa di markas Pak Sarip yang meragut beberapa korban hingga akhirnya membongkarkan rahsia pengkhianatan. One Two Jaga seakan terumbang ambing lalu mahu segera ditamatkan.

Segala semiosis yang dipaparkan dalam visual sempit kasar yang penuh sakit dan menderitakan semudahnya dimusnahkan oleh penghujung cerita yang terlalu mahu menyabitkan kesalahan. Memilih untuk meletakkan deretan aksara jadi perkataan bagi menjelaskan nasib dan hukuman adalah suatu kesilapan seni visual yang merugikan.

Masalah terbesar One Two Jaga adalah penghujungnya yang tidak mahu mengajak penonton untuk bersamanya terjun ke dalam rangka besar pemikiran yang dibawa sejak awal bagi menumpaskan sistem hidup yang memperalatkan kemanusian.

Persoalan ekosistem hidup yang melingkari survival polis dan imigran yang dijebakkan dengan isu rasuah, sogokan dan bermacam jenis pengambilan kesempatan bisa saja jadi lebih besar dan menggetarkan.

One Two Jaga adalah sebuah karya separuh sempurna akibat dari pengkaryanya tidak sebenar-benar dibebaskan dalam menghasilkan kerja pengkaryaan. Lakon layar yang beberapa kali turun naik Bukit Aman adalah suatu kekalahan kepada sebuah One Two Jaga yang lebih memeranjatkan.

Ya, One Two Jaga adalah sebuah filem penting yang hebat. Namun pada hujungnya ia juga tumpas pada kuasa yang sepatutnya ia tewaskan apabila dicemari tangan dari Bukit Aman. – 7 Oktober, 2018.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen