PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri Mujahid Yusof Rawa iaitu tiada lagi operasi tengah malam untuk menyiasat laporan khalwat.
Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mengintip dan masuk campur urusan orang lain, beliau memberitahu pemberita.
“Islam tak suruh kita pi cari orang, cari salah sahaja, tak suruh peghambat masuk rumah orang. Itu bukan Islam.
“Islam bukan agama yang zalim, bukan tentang potong tangan. Islam lebih daripada itu,” kata Dr Mahathir selepas menyampaikan ucaptama pada majlis “Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti” di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam temubual ekslusif bersama The Star, Mujahid berkata apa yang dilakukan oleh orang Islam di tempat tertutup bukan urusan kerajaan.
Beliau dipetik berkata selepas ini tiada lagi ketukan pintu atau serbuan pada lewat malam oleh pihak berkuasa agama untuk menyiasat laporan khalwat atau salah laku lain.
“Katakan anda melakukan sesuatu dalam ruang peribadi anda, saya tidak akan campur tangan.
“Sebagai contoh, pengambilan alkohol adalah satu kesalahan bagi seorang Muslim, tetapi jika anda melakukan perbuatan itu di dalam kawasan anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan,” kata Mujahid dalam temubual tersebut.

Sejak mula menggalas tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama, Mujahid berkata beliau terpaksa berdepan pelbagai kontroversi termasuk isu LGBT, perkahwinan bawah umur, rotan di mahkamah syariah dan penderaan seksual di sekolah tahfiz.
Selain itu, beliau terpaksa mengubah pemikiran “konservatif agama” segelintir penjawat awam yang ingin menegakkan kesucian agama melalui pemahaman sendiri.
Dr Mujahid berkata beliau sendiri terpaksa menjelaskan tentang Islam berdasarkan konsep ‘rahmatan lil alamin’.
“Kisah kerajaan Islam akan diterjemahkan ke dalam dasar kita, semua aktiviti kehakiman Islam, semua hubungan kita dengan agama lain.
“Islam yang mengasihi tidak membahayakan kepentingan rakyat atau kepentingan perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.
Mengulas tentang serbuan untuk menangkap pesalah khalwat, Dr Mujahid berkata isu penguatkuasaan itu telah disalahguna dan dieksploitasi.
Beliau sendiri mengutuk tindakan pihak berkuasa agama yang merempuh pintu untuk menangkap pesalah khalwat.
“Penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksploitasi dalam beberapa kes. Mereka (pegawai) tidak sepatutnya menggangu ruang lingkup peribadi seseorang individu,” kata Mujahid. – 6 Oktober, 2018.
Komen