Apa yang orang Islam lakukan secara tertutup, bukan hal kerajaan, kata Mujahid


PIHAK berkuasa agama tidak lagi akan membuat serbuan pada tengah malam terhadap laporan kes khalwat atau salah laku mengikut agama yang didakwa dilakukan di ruang peribadi seorang Muslim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

Katanya, sebarang aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Islam secara tertutup bukanlah urusan kerajaan.

“Andai kata anda melakukan perkara dalam ruang peribadi, saya tidak akan masuk campur.

“Sebagai contoh, minum arak adalah dilarang untuk seorang Muslim tetapi jika anda minum secara tersembunyi, sebagai kerajaan saya tidak akan campur tangan,” katanya, seperti dipetik The Star.

Dr Mujahid yang memimpin hal ehwal agama Islam, mengakui beliau berdepan tugas sukar untuk mengubah imej kementerian itu dan pada masa yang sama berusaha melaksanakan pembaharuan Islam secara inklusif di negara ini.

Katanya, sewaktu menyertai kementerian itu, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai kontroversi seperti isu LGBT, perkahwinan bawah umur, hukuman rotan secara umum dan gangguan seksual di tahfiz.

Selain itu, beliau terpaksa mengubah pemikiran konservatif segelintir penjawat awam yang mempunyai cara pemikiran tersendiri terhadap Islam.

Dr Mujahid berkata beliau sendiri terpaksa menjelaskan tentang Islam berdasarkan konsep rahmatan lil alamin.

“Dasar kerajaan terhadap Islam akan menterjemahkan dasar kita, semua aktiviti kehakiman Islam, semua hubungan kita dengan kepercayaan orang lain.

“Kasih sayang dalam Islam tidak membahayakan orang lain atau kepentingan perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Mengulas tentang serbuan untuk menangkap pesalah khalwat, Dr Mujahid berkata isu penguatkuasaan itu telah disalahguna dan dieksploitasi.

“Amat penting bagi mereka (pegawi penguatkuasa) untuk tidak campur dalam hal peribadi orang lain,” katanya.

Malah beliau berkata perbincangan sedang dilaksanakan dengan agensi penguatkuasa agama di peringkat negeri bagi meyakinkan mereka melaksanaan pembaharuan baharu yang dibawa oleh kerajaan persekutuan.

“Realitinya di Malaysia, walaupun berkait dengan hal ehwal Islam, ada ketikanya kita perlu berdepan masalah yang turut melibatkan orang bukan Islam,” katanya.– 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen