Putrajaya minta tolong Hishammuddin baiki hubungan dengan Arab Saudi


SM Amin

Beberapa sumber mendakwa Putrajaya meminta bantuan bekas menteri Barisan Nasional Hishamuddin Hussein Onn untuk memulihkan hubungan dengan Arab Saudi yang terjejas sejak peralihan kerajaan 9 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

PUTRAJAYA meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Hishammuddin Hussein untuk memulihkan semula hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, kata beberapa sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, hubungan itu terjejas kerana beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan keputusan pentadbiran Najib Razak melibatkan hubungan dengan Riyadh.

Permintaan Putrajaya itu juga dibuat selepas Arab Saudi dilihat menunjukkan isyarat lebih mengutamakan pemimpin dalam pentadbiran Najib berbanding kerajaan sekarang, kata sumber.

“Selain (bekas perdana menteri) Najib Razak, Hishammuddin juga mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi.

“Tidak wajar untuk kita (Malaysia) bermusuhan dengan Arab Saudi kerana ia akan menjejaskan banyak perkara termasuk kuota haji,” kata sumber, yang maklum tentang permintaan Putrajaya kepada Hishammuddin, kepada The Malaysian Insight.

Hishammuddin, yang juga bekas menteri pertahanan adalah sepupu Najib. Ahli Parlimen Sembrong itu juga bekas naib presiden Umno tetapi tidak mempertahankan jawatannya semasa pemilihan parti Jun lepas.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Hishammuddin tetapi belum ada sebarang reaksi daripada beliau.

Arab Saudi yang dipimpin Raja Salman (kiri) lebih gemarkan pentadbiran Najib Razak berbanding Pakatan Harapan yang berkuasa sekarang. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.

Seorang lagi sumber yang dekat dengan kerajaan memberitahu hubungan Malaysia dengan Arab Saudi “tidak berapa baik” selepas Putrajaya menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) awal Ogos lalu.

“Putrajaya minta Hishammuddin tolong pulihkan hubungan dengan Raja Salman. Perlu pulihkan segera. Hishammuddin ini perahsia. Walaupun nampak senyap, dia ada gerakannya,” kata sumber itu.

Penutupan KSCIP juga menimbulkan dakwaan Arab Saudi akan mengurangkan kuota haji pada musim yang baru lalu. Lembaga Tabung Haji kemudian mengesahkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi 2018 kekal 30,200 atau 0.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan itu.

KSCIP yang mula beroperasi di Kuala Lumpur pada Mei 2017 adalah idea Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz Al-Saud bagi mengekang fahaman pelampau dan militan.

Bagaimanapun pada 6 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan pusat yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta merta.

Keputusan Putrajaya menutup pusat itu dikritik oleh bekas anggota pentadbiran BN, termasuk Najib.

Najib berkata keputusan kerajaan Pakatan Harapan itu akan menyebabkan kerajaan Arab Saudi terkilan.

Hishammuddin pula ketika itu menyifatkan tindakan tersebut akan merugikan Malaysia yang juga berusaha membendung gejala radikal dan pelampau. Katanya, Malaysia terlepas peluang jadi negara strategik untuk memerangi ekstremis dan aktiviti keganasan global bersama negara Arab Saudi.

Beberapa pihak lain turut membangkitkan kebimbangan penutupan KSCIP akan menjejaskan pelaburan RM31 bilion syarikat minyak Saudi Aramco dalam projek loji penapisan minyak di Pengerang.

Arab Saudi memberi isyarat tidak senang kepada pentadbiran Pakatan Harapan baru-baru ini apabila meletakkan Ahmad Zahid Hamidi di kerusi depan majlisnya berbanding Menteri Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajid Dusuki pula berkata Putrajaya sepatutnya mengirim delegasi bertemu Raja Saudi untuk membincangkan keputusan menutup pusat berkenaan.

Satu lagi keputusan yang mengeruhkan hubungan dua negara itu ialah keputusan Kabinet pada Jun lalu mahu memanggil pulang tentera Malaysia di Arab Saudi. Keputusan itu dibuat kerana penglibatan tentera Malaysia dalam konflik di Yaman bertentang dengan dasar luar negara yang berkecuali.

Tentera Malaysia dikerah ke Arab Saudi sejak 2015, bagaimanapun bukan untuk terlibat dalam perang yang diketuai negara itu sebaliknya bersiap sedia membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman, kata kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Menurut sumber lagi, Riyadh dilihat memberikan “isyarat” kepada Putrajaya dalam satu majlis rasmi Raja Salman di Arab Saudi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini. Majlis itu dihadiri antara lain Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Najib, ditempatkan di barisan depan sementara Mujahid di kerusi yang lebih belakang, tambah sumber. – 6 Oktober, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen