Kerajaan tutup pusat anti keganasan disokong Arab Saudi


Kamles Kumar

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pejabat sementara Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Wisma HLA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA membatalkan projek Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong Arab Saudi dan dicadangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pejabat sementara pusat berkenaan di Wisma HLA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur turut ditutup.

“Kerajaan akan menamatkan operasi KSCIP dan pejabat sementara akan ditutup serta merta,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini.

KSCIP dicadangkan oleh bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein tahun lalu semasa Putera Arab Saudi Salman Abdul Aziz melawat Malaysia, dan bagi menjadi simbol kepada usaha kedua-dua negara dalam menangani keganasan.

Mohamad berkata fungsi KSCIP akan diambil alih oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

Presiden Amanah itu menjawab soalan Kasthuri Patto (Batu Kawan-DAP) yang ingin tahu apakah status KSCIP dan penglibatannya dalam membanteras keganasan, khususnya dari Timur Tengah.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini berkata yang pusat itu bertujuan untuk memperbetulkan tanggapan salah dunia terhadap Islam dan melawan retorik yang disebarkan kumpulan keganasan termasuk Daesh.

Penubuhan pusat itu menerima kecaman beberapa pihak termasuk sarjana Islam.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Zamihan Mat Zin menyifatkan cadangan untuk meminta kerajaan Arab Saudi membanteras kegiatan keganasan di Asia Tenggara sebagai “tidak realistik”.– 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen