Umno borak kosong hendak rampas Permatang Pauh, kata PKR


Looi Sue-Chern

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata dakwaan Umno itu tidak lebih sekadar 'tunjuk lagak'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.

UMNO hanya borak kosong kononnya ia akan merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana tidak semua 8,000 pengundi baru yang Umno dakwa sudah ia daftarkan sebagai pengundi di kawasan itu akan mengundi parti berkenaan, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Jelas beliau sesiapa saja yang meneliti data pengundian akan tahu dakwaan itu tidak lebih sekadar “tunjuk lagak”.

Nurul Izzah menjelaskan pendaftaran pengundi baru bukan jaminan akan diterjemahkan sebagai undi, dan mengingatkan rakyat Malaysia akan menolak kerajaan persekutuan yang didakwa korup sekiranya pilihan raya dijalankan dengan adil dan bebas.

Beliau juga mengingatkan rakyat tidak lupa bagaimana kerajaan menekan penduduk di kawasan yang dimenangi pembangkang dengan menyekat pembangunan, termasuk di Permatang Pauh.

“Kita juga sudah melihat bagaimana penyokong-penyokong kuat BN meninggalkan barisan dan ramai lagi yang sedia mengikut jejak langkah yang sama, membawa pengundi bersama mereka.

“Parti pemerintah (Umno) kini lebih gementar. Mereka berdepan dengan perpecahan terbuka dalam parti, dari atas sampai ke akar umbi dan tidak ada strategi untuk mencipta masa depan yang sejahtera dan mapan serta menyediakan peluang sama rata kepada semua rakyat Malaysia,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysia Insight. 

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said memberitahu media pada Ahad bahawa pengundi di kawasan itu sudah meningkat daripada 72,000 pada 2015 kepada lebih 80,000 sekarang.

Katanya, kebanyakan pengundi baru itu merupakan pengundi Melayu yang didaftarkan oleh Umno, sekaligus membayangkan berita gembira parti itu akan merampas kerusi tersebut daripada PKR.

PKR menang kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil pada 2015 dengan kelebihan 8,841 undi.

Menurut Zaidi lagi, kaji selidik Umno juga menunjukkan parti tonggak BN itu boleh mendapat 67% undi selain yakin PKR akan kehilangan undi daripada penyokong PAS selepas Pakatan Rakyat bubar.

Perang saraf dan persepsi

Ketua jentera pilihan raya Pakatan Harapan Pulau Pinang Mustapha Kamal Mohd Yusoff juga mempersoalkan dakwaan Umno itu. Beliau bertanya bagaimana Umno begitu yakin pengundi-pengundi baru itu akan menyokong mereka sedangkan PKR juga pada masa yang sama menganjurkan gerakan mendaftar pengundi baru setiap minggu.

“Ini perang saraf,” katanya, dan mengingatkan pengundi hari ini mampu membuat keputusan yang bermaklumat tentang siapa yang sepatutnya mereka pangkah pada kertas undi.

“Kami tidak akan buang masa dengan dakwaan Umno. Kami sudah bekerja sejak pilihan raya yang lepas, Umno pula baru kerja dekat dengan pilihan raya. Kami tahu denyut nadi akar umbi.

“Lagi pula, pertambahan pengundi memang biasa sebelum pilihan raya. Ada pengundi baru mendaftar dan ada pengundi yang bertukar kawasan.”

Belia sokong PAS

Dalam pada itu, pengarah jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh, Amir Hamzah Abdul Hashim juga meragui dkawaan Umno kononnya ia ada sokongan daripada lebih 8,000 pengundi baru.

“Ini hanya persepsi. Kaji selidik Umno tentulah akan memihak kepada Umno.

“Bagi PAS, kemungkinan merampas kerusi itu masih 50-50,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Amir, kalau Umno mendaftar pengundi baru di Permatang Pauh, PAS pun mendaftar beratus-ratus pengundi baru terutamanya dalam kalangan belia.

“Jumlahnya tidak lebih seribu orang tetapi ia petanda belia di Permatang pauh menyokong PAS yang membuat tarbiyah dan menekankan soal iman dan nilai-nilai Islam, tidak seperti mereka yang main politik dan cara yang entah bukan-bukan.”

Bimbang pengundi hantu

Ketika parti-parti dalam PH tidak yakin dengan daftar pemilih baru di seluruh negara, Nurul Izzah tidak mahu mengulas tentang kesahihan pendaftaran pengundi kalau tidak ada sebarang bukti.

“Tetapi saya fikir sejarah BN dalam penipuan pengundi dan campur tangan yang tidak berperlembagaan dalam pilihan raya yang adil sudah diketahui,” kata pengarah pilihan raya PKR itu.

Beliau mengakui PH bimbang dengan pengundi sah yang dikeluarkan daripada daftar dan pengundi hantu yang dimasukkan ke dalam daftar.

“Cabarannya bukanlah persaingan yang adil tetapi pengundi hantu yang merosakkan dasftar pengundi dan beberapa kes penipuan pilihan raya yang sudah kita lihat sejak bertahun-tahun lalu.

“Kami alu-alukan pendaftaran pengundi yang sah. Satu-satunya harapan kami ialah supaya usaha kami ini tidak terjejas dengan langkah Suruhanjaya Pilihan aRaya dan kerajaan BN yang tidak sah dan melanggar perlembagaan.”

Tentang kehilangan sokongan jentera PAS di Permatang Pauh, Nurul Izzah berkata jentera PH yang kini disertai oleh Bersatu yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan parti serpihan PAS, Amanah sedia berjuang.

Katanya, pakatan itu berharap pimpinan PAS akan melihat peri pentingnya parti-parti pembangkang bekerjasama atas nama keadilan dan menumbangkan kleptokrat.

Permatang Pauh jatuh kepada pembangkang pada 1999 selepas penyandangnya Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan melancarkan reformasi setahun sebelumnya.

Sejak itu, kerusi tersebut dipegang oleh presiden PKR yang juga ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar, kecuali antara 2008 hingga 2015 ketika mana Anwar kembali masuk politik.

Anwar kini menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen