Polis ambil keterangan Lokman Adam berhubung kenyataan hina PM, fitnah Anwar


SM Amin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil keterangan Pengerusi Pemantau Malaysia Baru Lokman Noor Adam berhubung dua laporan polis ke atas beliau. 

Lokman ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata dua pegawai penyiasat dari Balai Polis Subang dan Balai Polis Port Dickson menemui beliau di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Jalan Tun Razak pagi tadi. 

“Dua pegawai penyiasat mengambil keterangan saya tadi berkaitan dua laporan polis terhadap saya. 

“Satunya mengenai kenyataan saya (Perdana Menteri) Dr. Mahathir (Mohamad) tidak ada ‘telur’ (penakut) kerana tidak mahu luluskan pendaftaran Pemantau Malaysia Baru. 

“Satu lagi berkaitan posting saya di Facebook mengenai dakwaan liwat Anwar Ibrahim,” katanya. 

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil sebelum ini membuat laporan polis ke atas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu susulan kenyataannya di laman Facebook yang menuduh Anwar meliwat seorang pelajar dari Indonesia.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pajabat Polis Daerah Port Dickson. 

Lokman mendakwa telah memetik laporan portal media Singapura, Mediacorp yang kononnya menerbitkan berita tersebut.

Terdahulu Lokman hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Jalan Tun Razak bagi memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang memberi keterangan berhubung siasatan dibawah Anti Money Laundering Act (AMLA). – 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen