AHLI Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam sudah memadam posting fitnah di Facebook terhadap bakal presiden PKR Anwar Ibrahim selepas dimaklumkan ia adalah berita palsu.
“Saya dah periksa dan padamkannya. Saya dah umumkan kenyataan itu tidak benar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Saya muat naik posting mengenai kes liwat di Singapura. Tetapi bila semak dengan sumber, ia tidak berlaku.”
Terdahulu, syarikat penerbitan Singapura beritamediacorp meminta Lokman memadam posting berkenaan dan menafikan ia adalah sumber laporan yang dirujuk oleh Lokman.
“Kami diberitahu Lokman mendakwa postingnya adalah dari sumber beritamediacorp,” kata agensi media berkenaan.
“Ini tidak benar, dan berita yang disebarkan Lokman adalah palsu.”
Dalam posting terbabit, Lokman berkata seorang warganegara Indonesia membuat laporan polis di Singapura, mendakwa telah diliwat oleh suami Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Insiden itu dikatakan berlaku di Singapura baru-baru ini.
“Suaminya adalah Anwar Ibrahim. Mangsa terbabit kini dijaga oleh polis Singapura di hospital,” menurut posting oleh Lokman, yang pernah menjadi pengarah komunikasi dalam Kementerian Kewangan di bawah kerajaan Barisan Nasional. – 30 September, 2018
Komen