DUA beradik Pan (Charoonroj) dan Pin (Charoonphan) Romphoyen dari Thailand ini suka bermain, makan aiskrim, ketawa, bertengkar, bergaduh dan menangis, sama seperti kanak-kanak berusia sembilan tahun yang lain.
Mereka mempunyai hati dan impian sendiri, tetapi apa yang menjadikannya luar biasa adalah mereka berkongsi kaki.
Pin dan Pan adalah kembar Siam. Dilahirkan bersambung di bahagian pinggang, yang menjadikan ia sukar bagi kedua beradik ini untuk berdiri dan berjalan tanpa bantuan.
Justeru, mereka belajar untuk “merangkak ala ketam” dengan menggunakan tangan sebagai sokongan.
Pin mengawal kaki kanan, sementara saudaranya, Pan, mengawal kaki kiri. Bersama-sama, mereka bergerak ke mana yang ingin dituju.
Kembar itu tinggal nenek mereka di wilayah Nakhon Sawan, kira-kira 240km dari Bangkok. Walaupun badan bercantum, keperibadian mereka, wajah dan kegemaraan mereka berbeza.
Pan suka rambutnya dipotong pendek, Pin pula senang berambut panjang, yang merupakan satu daripada cita rasa yang ada pada mereka, kata neneknya Noknoi Pongchamnan, 43, yang menjaga kembar itu seperti ibunya.
Pan dan Pin mendapat pendidikan di sekolah untuk golongan kurang bernasib baik di Nakhon Sawan Panyanukul dan kini belajar di sekolah rendah Wat Wang Phai.
Mereka popular dan disayangi oleh rakan sekolah dan guru, diterima sepenuhnya walaupun mempunyai perbezaan.
Menggunakan kerusi roda buatan sendiri untuk melakukan aktiviti sekolah, ia turut membantu mereka apabila ingin pergi jauh.
Setiap hari, Noknoi membawa kedua-dua cucunya itu ke sekolah menaiki motosikal dan menjemputnya pada sebelah petang.
Mereka turut membantu melakukan kerja rumah sebelum keluar menaiki kerusi roda dan bermain dengan rakan-rakan di kawasan kejiranan.
Keluarga ini mendapat bantuan sekolah Nakhon Sawan Panyanukul iaitu sebuah sekolah bagi mereka yang kurang bernasib baik dengan perumahan, dan memperoleh pendapatan kecil daripada menjual makanan dan minuman di sekolah.
Selain itu, mereka turut memperoleh pendapatan daripada organisasi kebajikan dan sumbangan perseorangan.
Seorang doktor pernah menasihatkan keluarga ini menjalankan pembedahan untuk memisahkan kembar itu, tetapi ia berisiko tinggi. Pin dan Pan berkata mereka mahu kekal bersama.
Kembar siam, yang bercantum secara fizikal dalam utero, adalah fenomena yang sangat jarang berlaku, dengan nisbah satu dalam setiap 50,000 hingga 200,000 bagi kelahiran hidup.
Mengikut Kolej Perubatan Maryland, kira-kira 40% hingga 60% daripada mereka meninggal semasa dilahirkan dan hanya 35% hidup selama sehari. – 10 September, 2018.
Komen