Kampung Orang Asli Batek kini diterangi cahaya


Nazir Sufari

BUAT pertama kalinya, Kampung Aur mula menggunakan lampu dan menjadi kampung Orang Asli Batek kedua di Taman Negara yang berbuat demikian.

Terletak di sepanjang sempadan taman negara, kira-kira 9km dari Kuala Tahan dan hanya boleh diakses melalui bot melalui Sungai Tembeling, kampung itu tidak mempunyai sebarang kemudahan asas.

Penduduknya menjalani kehidupan berpindah randah, sering menghabiskan masa yang lama di dalam hutan untuk memburu dan mengumpulkan segala keperluan.

Bagaimanapun, dengan aktiviti pembalakan dan perladangan semakin mengancam kehidupan mereka, etnik itu terpaksa mencari sumber pendapatan lain, seperti kraf dan pelancongan. Mereka juga mula mengutamakan pendidikan untuk anak-anak.

Kehadiran lampu dapat membantu penduduk kampung dengan kerja-kerja kraftangan mereka, begitu juga memudahkan kanak-kanak membuat kerja sekolah pada waktu malam.

Lampu LED lampu mudah alih yang boleh dicas semula - menggunakan panel solar - ditaja oleh firma arkitek Veritas Design Group, syarikat pembinaan Haskell Malaysia serta Lewis and Clark College di Portland, Amerika Syarikat, melalui inisiatif “Kampungku” oleh organisasi pemuliharaan bukan berasaskan keuntungan, EcoMy.

Tahun lepas, di bawah inisiatif yang sama, Kampung Dedari di sebelah Kampung Aur, menerima lampu dengan sistem serupa. Kampung Dedari juga mula membuka beberapa “pondok hutan” bagi menerima kedatangan pelancong. – 5 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen