Keunikan dan kesenian Pertandingan Ayam Ratu


Nazir Sufari

GENG Peminat Ayam Ratu Selangor berjaya mengumpulkan 86 peminat Ayam Ratu dari seluruh negeri dalam Pertandingan Kesenian & Kecantikan Ayam Ratu Terbuka Selangor 2021 semalam.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Basyir Basarahim, 36, berkata pertandingan itu adalah yang pertama di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini bagi membendung penularan Covid-19.

Mohd Basyir berkata pertandingan itu dibahagikan kepada lapan kategori iaitu Leung Hang Khao (LHK), LHK muda, ibu ratu, warna, dan beberapa kategori lagi.

“Pertandingan seperti ini selalunya dianjurkan di Thailand sejak lebih tiga dekad, tetapi di negara kita, ia mula diperkenalkan sekitar 2016.

“Sebab itu kami mengikut skema Thai - sistem, juri dan cara mengendalikan pertandingan - malah juri juga perlu mendapatkan sijil mereka dari Thailand.

“Dalam pertandingan itu, juri akan mempertimbangkan beberapa faktor termasuk gaya, kekemasan bulu, badan, tulang, dan ekor ayam jantan untuk memberi markah,” kata Basyir.

Dalam pertandingan itu, pemenang kategori ayam cantik dimenangi oleh ayam ‘Thaici’ milik Pok Jak dari Kuantan yang turut memenangi juara keseluruhan ‘Best of The Best’.

Mohd Basyir berkata, pertandingan itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada mereka menampilkan keunikan haiwan peliharaan masing-masing.

“Kita tidak mahu kumpulan atau peminat sabung ayam terbabit dalam aktiviti sabung ayam. Sabung ayam adalah melanggar undang-undang. Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan sebegini,” tambah Mohd Basyir.

Sementara itu, seorang peserta, bekas guru Cikgu Zulkifly, 60-an, dari Johor berkata dia mula memelihara ayam sejak tiga tahun lalu, yang turut dibawa menyertai pertandingan itu.

“Dalam pertandingan ini, saya membawa 4 ekor ayam sabung untuk mengambil bahagian tetapi tidak berjaya dan saya akan cuba yang terbaik pada pertandingan akan datang,” kata Cikgu Zulkifly sambil tersenyum. – 20 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen