K9 Cottage perlu bantuan


SALEHIN Ibrahim dan lapan anjingnya sangat memerlukan bantuan. Tiga minggu selepas banjir yang menyebabkan rumahnya rosak, beliau hanya menerima sedikit bantuan untuk membina semula rumahnya.

Salehin, 60, meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai bank selepas 25 tahun untuk menubuhkan K9 Cottage, sebuah pusat terapi haiwan di Sg Lui, Hulu Langat, kerana cintanya terhadap anjing.

Selepas menggunakan wang simpanannya untuk menubuhkan pusat itu lima tahun lalu, kesemuanya musnah dalam masa hanya beberapa jam selepas hujan lebat menyebabkan rumahnya dinaiki air.

“Banjir menyebabkan tanah runtuh di belakang rumah saya menyebabkan lumpur dan sisa banjir lain merempuh rumah dan menghanyutkan saya dan anjing saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lapan anjingnya yang kini berada di pusat berkenaan adalah Patch, Stoner, Hitam, Putih, Koa, Hugo, Hailey dan Nymeria.

Ketika kejadian semua anjing berkenaan dihanyutkan air dan aliran lumpur.

“Ketika saya berpaut pada tiang, dua daripada anjing saya Patch dan Stoner berenang ke arah saya dan berada bersama saya sementara saya menunggu air surut.”

Pusat terapi berkenaan dibina di atas tanah berkeluasan 3.7 ekar yang telah dipajaknya selama 15 tahun daripada bekas rakan sekerjanya.

Beliau memerlukan bantuan untuk membina semula rumahnya, gazebo, tapak perkhemahan, tamannya, membersihkan kandang serta membina pagar di sepanjang hartanahnya.

“Saya mempunyai makanan yang cukup untuk diri saya dan anjing saya, saya hanya memerlukan lebih ramai orang di sini dengan sumber untuk membantu saya.”

“Ada juga orang yang menawarkan untuk memelihara, namun bukan itu yang saya mahu. Anjing-anjing itu seperti anak-anak saya, saya mahukan bantuan untuk membina semula rumah kami, bukan untuk mengambilnya daripada saya.”

Masalah terbesar Salehin ialah sungai yang hanya beberapa langkah dari halaman rumahnya.

Lumpur dan tanah daripada runtuhan telah menghalang aliran ke Sungai Gabai dan seterusnya mewujudkan laluan air baharu yang lebih dekat dengan rumahnya. Ini menjadi masalah besar sekiranya hujan turun lagi dan menyebabkan banjir.

Memandangkan pusat ini terletak lebih 2.5km dari jalan utama Sg Lui dan jalan masuknya juga sangat sempit, ia menyukarkan kenderaan besar untuk masuk bagi mengeluarkan banyak sampah dan sisa banjir besar.

Sesiapa yang ingin menghuklurkan bantuan kepada Salehin boleh menghubunginya menerusi talian 011-14828717. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen