Terkurung dalam bilik kecil dengan peti ais kosong


Nazir Sufari

PETI ais mini terbuka – dan kosong – di bilik kecil. Berukuran kira-kira 25 x 25 kaki persegi, bilik di atas sebuah rumah kedai di Chow Kit terlalu kecil untuk sebuah keluarga yang terdiri daripada enam orang.

Pemandangan peti ais kosong itu sangat menyayat hati. Sukar untuk membayangkan kemiskinan yang dialami sehingga sebuah keluarga terpaksa tinggal di situ.

Bapa, Desa Abdul Rahman, 50, berasal dari Ampang, Kuala Lumpur. Isterinya, Sofia Abdullah, 34, berasal dari Chiang Mai, Thailand.

Sebelum wabak melanda, Desa bekerja sebagai tukang cuci sambilan pejabat dan menolong isterinya Sofia Abdullah, 34, menjual buah-buahan di Chow Kit sebelum wabak Covid-19 melanda. Pasangan itu memperoleh kira-kira RM50 hingga RM70 sehari.

Pasangan ini menyewa dua bilik di rumah kedai yang sama selama lapan tahun, tetapi kini tinggal dalam satu bilik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran Covid-19 yang menyebabkan perniagaan mereka rugi.

Desa tidak dapat berjalan kerana penyakit gout yang dihadapinya semakin teruk dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Sofia kini mengambil alih untuk menjaga keluarga selepas Desa jatuh sakit.

Sofia bersama dua anak lelaki mereka – Adam, 12, dan Mikhail, 10, - menjual kacang tanah serta topeng muka di hadapan Nasi Kandar Yaseem, sebuah restoran yang popular di Chow Kit. Anak perempuan mereka, Nurul Ain, 14, membantu mengemas barang.

Adam dan Mikhail menjual barangan mereka dari pukul 12 tengahari hingga 2 petang hampir setiap hari.

Kadang-kadang mereka berjaya mendapatkan RM30 hingga RM50 sehari tetapi pada kebanyakan hari mereka hanya mendapat RM10 hingga RM20, tidak cukup untuk membeli barangan runcit, bahkan tidak mampu membayar sewa bilik RM25 sehari. Sewa bilik itu kini tertunggak hampir tiga bulan.

Mereka kini bergantung pada bantuan individu dan NGO yang membantu membawa makanan serta barangan keperluan.

Desa bimbang sekiranya tuan tanah memintanya dan keluarganya berpindah pada bila-bila masa.

“Saya sudah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Saya bukan orang yang suka meminta pertolongan daripada orang lain, tetapi dengan keadaan saya, saya terpaksa. Memikirkan masa depan anak-anak benar-benar buat saya sedih,” kata Desa.

Ketika ditanya mengenai harapannya, Desa berkata dia mahu menyediakan tempat tinggal lebih baik untuk keluarganya kerana anak-anak semakin membesar dan memerlukan tempat sendiri.

“Bilik ini mungkin terlalu kecil untuk kami tetapi Alhamdulillah kami masih mempunyai tempat tinggal untuk diduduki buat masa ini. Saya tidak tahu apa masa depan kami,” katanya.

Keluarga Desa adalah salah satu daripada banyak keluarga B40 yang terkesan akibat wabak Covid-19. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, ada yang hilang tempat tinggal, ada yang hilang pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan kerana masalah ekonomi disebabkan wabak Covid-19. Yang paling teruk adalah ada yang berdepan kemurungan dan kegelisahan.

Keluarga berpendapatan rendah di bandar lebih cenderung berdepan masalah pengangguran atau hilang perniagaan. Mereka juga berdepan cabaran lebih besar dalam mendapatkan rawatan kesihatan dan pembelajaran di rumah. – 15 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen