Lelongan akhir di pasar ikan Tsukiji, Tokyo


PASAR ikan Tsujiki di Tokyo, Jepun mengadakan lelongan sebelum subuh Jumaat lalu sebelum ia ditutup untuk dipindahkan ke lokasi lain.

Pada sesi lelongan terakhir itu, pembida yang tertinggi membayar sehingga RM5.15 juta untuk seekor ikan tongkol gergasi seberat lebih 400 kg.

Pasar ikan yang sudah beroperasi lebih 80 tahun ini, yang terbesar di dunia, merupakan antara tarikan pelancong popular di Tokyo. Ia terletak di sebuah kawasan yang padat dengan restoran dan kedai.

Selepas ini, pasar ikan itu akan berpindah ke Toyosu, tapak bekas sebuah kilang gas yang agak jauh ke sebelah timur dari lokasinya sekarang. Pasar ikan di tempat baru itu akan mula beroperasi pada 11 Oktober ini.

Pasar ikan Tsujiki yang mula dibuka pada 1935. Ia terkenal kerana mengadakan lelongan menjelang subuh ikan-ikan tuna yang ditangkap setiap hari, yang kemudiannya jadi sajian chef sushi utama bertaraf Michelin sampailah kepada yang dijual di kedai-kedai runcit.

Pasar Tsukiji mengendalikan 480 jenis makanan laut bernilai RM56 juta sehari, selain 270 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.

Namun sejak beberapa tahun lalu kemudahan yang uzur menimbulkan kebimbangan tahap kesediaan bangunannya menghadapi ancaman gempa bumi, selain soal kebersihan dan keselamatan daripada kebakaran.

Penggunanya juga sebelum ini mendesak agar diwujudkan sistem peti sejuk yang lebih baik dan berteknologi tinggi.

Pasar ini dicadangkan berpindah sejak akhir 2016 lagi namun cadangan itu mendapat bantahan pemilik perniagaan yang beroperasi di sekitar kawasan pasar.

Di pasar ini, rutin hariannya sama. Setiap hari sebelum subuh, pembeli yang datang memakai but getah memeriksa kualiti ikan tongkol gergasi segar dan beku.

Tepat pukul 5.30 pagi, pelelong membunyikan loceng tanda lelongan bermula dan pembeli akan menawarkan harga dengan mengangkat isyarat tangan.

“Tsukiji adalah pasar ikan nombor satu dunia. Sayang, ia terpaksa ditutup,” kata Akifumi Sakagami, seorang ketua chef sebuah restoran sushi di Ginza, seperti dipetik AFP. – Agensi, 6 Januari 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen