Warisan rumah kedai 'cacat' di Pulau Pinang


David ST Loh

TAK BANYAK bangunan lama era sebelum perang dunia kedua dan sebelum 1900 yang masih berdiri teguh di kebanyakan bandar di Asia. Hampir semua bangunan lama seperti yang pernah ada di Hong Kong, Singapura, China dan juga Bangkok telah pun diruntuh dan diperbaharui dengan citarasa zaman ini.

Bagaimanapun, hal ini tidak berlaku di Pulau Pinang. Bersyukurlah pada undang-undang kawal-sewa ketat yang dibuat penjajah British sebelum kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, yang menjadikan pulau mutiara ini sentiasa hidup dalam zaman kolonial dan seakan tidak terikut dengan peredaran zaman.

Hasil daripada usaha berterusan mengekalkan warisan seni bina dan budaya inilah yang membuatkan bandar George Town kini merupakan sebuah bandar warisan yang berkembang pesat, sehingga disenaraikan oleh Unesco sebagai Warisan Dunia pada 2008.

Diangkat sebagai kerana warisan seni binanya sebagai antara yang terhebat di Asia Tenggara, pulau ini juga terkenal dengan lambakan rumah kedai tradisional. Di mana-mana sahaja di George Town dan sebahagian besar pulau ini, seni bina bangunan pra-1960an masih boleh dilihat, dengan tambahan gaya reka bentuk yang telah berkembang sejak hampir 200 tahun lalu.

Sebenarnya, reka bentuk rumah kedai lama di Pulau Pinang ini berasal dari Selatan China. Namun, ia tidak berdiri teguh begitu sahaja sehingga kini jika tidak Stamford Raffles tidak mengamalkan sikap tanggungjawab dalam mengubahsuai reka bentuk bangunan-bangunan ini selain memperkayakan seni bina dengan pengaruh dari pelbagai budaya yang lain.

Pun begitu, bangunan-bangunan lama di sini terdiri antara jenis dua atau tiga tingkat, dengan jarak lima kaki di ruang hadapan rumah kedai, langsung “membuka jalan” buat pejalan kaki untuk menyelusuri bandaraya warisan ini. 

Rumah kedai di sini, seperti namanya juga, iaitu untuk perniagaan keluarga di tingkat bawah, sementara ruang tempat tinggal keluarga di tingkat atas.

Rata-rata rumah kedai di sini, yang terikut dengan peredaran zaman, bagaimanapun masih “terjaga” lagi kesan-kesan “cacat” seperti lantai yang tenggelam dan tiang kayu bengkok. “Kecacatan” yang dikekalkan oleh kebanyakan pemilik inilah yang menghidupkan warisan ini, malah mengajar kita akan sejarah turun temurun pemilik: autentik. Semestinya tidak sama dengan rumah kedai moden.

Perniagaan masih berjalan bersama warisan bangunan ini. Dari perniagaan menempa besi, membaik pulih kenderaan, perniagaan runcit sehinggalah kepada jenis perniagaan seperti pub, kafe hipster, selain hotel butik. – 26 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen