Penternak kerang Selangor rugi akibat sungai tercemar


Nazir Sufari

PENCEMARAN sungai yang tidak berkesudahan di kawasan pantai barat Selangor menjejaskan kehidupan nelayan, terutamanya penternak kerang di Klang, Kuala Selangor, dan Sabak Bernam.

Masalah itu sudah berlarutan sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan hasil kerang berkurangan dan masih belum dapat diselesaikan sampai sekarang, kata nelayan dan penternak.

Pencemaran sudah berlaku sejak 2012 sehingga menyebabkan aktiviti mengutip kerang tidak dapat dilakukan. Air sungai bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk, jika cuaca panas berlarutan dan air sungai tidak mengalir deras.

Kesan pencemaran itu turut dirasai oleh nelayan, yang mengalami gatal kulit terutama di bahagian pergelangan kaki mereka.

Projek penternakan kerang di Jeram dimulakan atas inisiatif kerajaan negeri Selangor sejak 2008 dengan penyertaan nelayan tradisi secara berkumpulan.

Setiap lot kebun kerang akan diusahakan dengan keahlian antara lima hingga 10 orang nelayan. Sejumlah 200 lot kebun kerang dengan keluasan hampir 10,000 hektar telah diwujudkan dengan purata keluasan sekitar 50 hektar bagi setiap lot.

Melalui projek itu, setiap peserta disasarkan akan memperolehi pendapatan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

Data Jabatan Perikanan Malaysia bagaimanapun merekodkan penurunan mendadak hasil kutipan kerang sejak 2010, dua tahun selepas projek kebun kerang itu berjalan sehingga ke tahun 2015.

Pengeluaran hasil kebun kerang itu merekodkan sekitar 41,410.06 metrik tan pada 2010, jatuh mendadak kepada hanya 3,327.45 metrik tan pada 2015. – 29 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen