Pesona perarakan Chingay di George Town


David ST Loh

PERARAKAN Chingay cukup sinonim dengan Pulau Pinang. Sejak bertahun-tahun lamanya, acara ini memikat hati penduduk tempatan dan pelancong.

Perarakan ini bermula pada pertandingan kereta berhias yang diadakan di Pulau Pinang pada 1905. Perkataan “Chingay” berasal dari ‘chin yi” iaitu dialek Cina Hokkien tempatan yang bermaksud “seni asli”.

Asalnya, persembahan Chingay diadakan hanya untuk meraikan ulang tahun kelahiran Kuan Yin iaitu Dewi Kasih Sayang. Namun, hari ini persembahan Chingay turut diadakan pada perayaan seperti Pesta Pulau Pinang dan perayaan-perayaan masyarakat Cina.

Chingay dikenali dengan aksi membawa bendera-bendera buluh gergasi setinggi kira-kira 12m dalam perarakan di jalanan. Berbeza dengan ketinggian bendera keagamaan Chingay yang asalnya setinggi 15m hingga 18m, bendera-bendera ini lebih mudah dikendalikan dan membolehkan unsur-unsur akrobatik diperkenalkan untuk menarik perhatian penonton.

Persatuan Chingay Pulau Pinang boleh dianggap sebagai pemelihara kesenian ini. Ketika kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah untuk menjadikan Pesta Pulau Pinang sebagai pameran perdagangan tahunan pada 1970, perarakan Chingay menjadi satu daripada acara utama. 

Semenjak itu, dari persembahan kebudayaan, ia menjadi aktiviti mempromosikan pelancongan di Pulau Pinang. 

Tahun ini, Pesta Perarakan Chingay menampilkan 2,000 penghibur, enam kumpulan Chingay, 15 kumpulan tarian singa dan sebuah kumpulan tarian India yang mengagumkan penonton di George Town. – 12  Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen