Atas nama kemajuan, sinar Pulau Mutiara makin malap


Hasnoor Hussain

‘PULAU Mutiara’- Pulau Pinang- adalah salah sebuah tempat paling pantas berkembang dan padat di dunia.

Jumlah penduduknya meningkat lebih 40% sejak 1970 kepada 752,800 pada 2015. Secara puratanya terdapat 1,663 orang tinggal dalam setiap kilo meter persegi pulau itu. Jumlah penduduk dijangka akan terus meningkat dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Gurney Wharf, kawasan seluas 53 hektar, taman berhampiran laut berhampiran Gurney Drive yang terkenal itu diwujudkan daripada inspirasi Garderns by the Bay di Singapura. Sementara, STP2 seluas 308 hektar dan terdiri daripada dua buah pulau didakwa pemaju sebagai “sarang hartawan baharu” Pulau Pinang. STP 2 terletak bersebelahan Gurney Wharf dan Seri Tanjung Pinang 1 (STP1). STP1, kawasan tambakan lebih awal seluas 97 hektar kini menjadi “rumah” kepada lebih rakyat lebih 20 kewarganegaraan dan tapak festiva marina pertama negeri itu.

Tambakan laut di Pulau Pinang bermula seawal tahun 1800-an lagi, tetapi pada kadar hanyalah 0.4 kilometer persegi sehinggalah 1960. Antara 1970 dan 1990, hampir 405 hektar kawasan paya bakau, ladang kelapa dan sawah padi ditambak menjadi Zon Perdagangan Bebas Pulau Pinang. Kawasan industri itu adalah tapak kilang syarikat gergasi elektrik dan elektronik dan dianggap Lembah Silikon Timur.

Pada Jun 1999, lebuh raya tiga lorong sepanjang 4.7 kilometer, Lebuh Raya Jelutong yang kini sebahagian Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dibina untuk menghubungkan Jambatan Pulau Pinang dengan Weld Quay di George Town. Lebuh raya itu dibina di kawasan tambakan laut yang dibiayai pemaju. Sebagai balasan, pemaju diberi pampasan tanah seluas 149 hektar. Kini, kawasan Selat Pulau Pinang itu menjadi The Light Waterfront, MetroEast dan Bandar Sri Pinang.

Antara Queensbay Mall dan Pulau Jerejak adalah kawasan pesisir pantai seluas 10 hektar yang ditambak untuk pembinaan Queens Waterfront, yang menempatkan rumah, marina, pusat sukan dan sekolah antarabangsa.

Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) dicadangkan kerajaan negeri untuk pembinaan tiga lagi pulau seluas 1,821 hektar di selatan pulau, sebahagian daripada projek mega, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Pelan induk itu meliputi lebuh raya dan jalan raya, dua jajaran LRT, jajaran monorail, transit bad rapid (BRT), perkhidmatan tram dan terowong bawah laut yang akan dibina dengan anggaran kos RM27 bilion pada 2015. Bagaimanapun, kos itu meningkat sehingga RM46 bilion, tidak termasuk terowong bawah laut dan lebuh raya tiga lorong yang kini menelan belanja RM6.3 bilion.

Bagi membiayai projek itu, Konsortium SRS akan melakukan kerja tambakan untuk pembinaan tiga pulau itu.

Pergerakan masyarakat sivil dan kumpulan nelayan membantah PSR, mendakwa ia menjejaskan alam sekitar dan kehidupan lebih 5,000 nelayan dan keluarga mereka.

Jika PSR diteruskan mengikut rancangan, 32.3 kilometer persegi daripada 321.8 kilometer persegi pulau atau 10% akan berada di atas kawasan tambakan laut. – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen