Siap sedia hadapi ancaman pengganas


Kalidevi Mogan Kumarappa Hasnoor Hussain

LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor pada pagi Khamis gempar seketika apabila ‘sekumpulan militan’ menahan beberapa orang sebagai tebusan dan meminta tebusan RM5 juta daripada kerajaan Malaysia.

Namun, dalam masa 30 minit, ‘kerja jahat’ mereka dilumpuhkan oleh pasukan elit keselamatan.

Kegemparan di lapangan terbang itu bagaimanapun hanyalah latihan keselamatan melibatkan Unit Tindakan Khas dan Unit Platun Harimau di bawah pasukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).

Senario penahanan tebusan itu adalah sebahagian daripada latihan ancaman keganasan untuk menguji kecekapan dan persediaan pihak berkuasa, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din.

Latihan melibatkan 350 pegawai dan anggota termasuk dari Komando 69, Unit K9, Jabatan Forensik dan Unit Pemusnah Bom.

Ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta syarikat penerbangan.

“Latihan ini adalah bagi mengenal pasti kekurangan serta menambah baik tahap kesiapsiagaan komunikasi antara agensi terlibat.

“Lapangan terbang adalah antara sasaran utama ancaman pengganas. Jadi, adalah amat penting untuk setiap agensi mengetahui langkah yang perlu diambil jika menghadapi krisis seperti itu,” kata Mohd Zani. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen