WALAU berdepan dugaan mengancam nyawa, pelarian Rohingya nekad mencari jalan meneruskan hidup.
Shah Porir Dwip (atau Shapuree Dip), adalah sebuah pulau kecil di hujung selatan Bangladesh, di mana Sungai Naf mengalir ke Laut Bengal.
Pulau ini menjadi tempat pendaratan pelarian yang melarikan diri dari Myanmar. Mereka memperjudikan semua yang dimiliki di tangan kapten bot, dengan harapan dapat melalui perjalanan ke Bangladesh dengan selamat.
Siri kali ini memaparkan keadaan pelarian tiba dan perjalanan mereka yang seterusnya. – 30 September, 2017.
Guruh dan kilat saling menyabung ketika kapal nelayan berlabuh di Maungdaw, Myanmar, kira-kira 5km dari pantai Shah Porir Dwip. Laporan keganasan kebanyakannya dari pantai Maungdaw di pantai dan kawasan pedalaman Buthidaung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Tiada perjalanan yang mudah bagi Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar. Mereka menghabiskan masa berhari-hari bersembunyi di dalam semak bagi mengelak diri daripada rondaan tentera Myanmar sebelum menemui bot yang sanggup membawa mereka. Bagi mengelak dikesan dan untuk bot berpatah balik dengan segera, mereka sanggup mengharung air laut hingga ke paras pinggang dan berjalan ke arah pantai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.Terabai sejak sekian lama, penduduk tempatan terpaksa membina jambatan kayu sendiri untuk membolehkan penumpang dari Teknaf sampai ke bot laju. Bayaran sebanyak BDT30 yang biasanya dikenakan bagi setiap orang dimansuhkan bagi memberi laluan percuma kepada pelarian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Selepas meniti jambatan kayu, pelarian perlu melalui jalan berlumpur yang sebelum ini berturap ke lokasi bot laju sedang menunggu untuk menyeberang sungai ke pulau Shah Porir Dwip. Semasa air pasang, seluruh kawasan ditenggelami sepenuhnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.Bagi mereka yang terperangkap di Myanmar, telefon bimbit menjadi satu-satunya talian hayat mereka kepada dunia luar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Seorang lelaki berbual dengan ahli keluarganya di Myanmar melalui telefon di dermaga Terminal Shah Porir Dwip. Di sepanjang pantai sentiasa ada yang menunggu ketibaan pelarian. Mereka menunggu dengan sabar selama beberapa hari untuk mendengar berita daripada keluarga yang masih terkandas di Maungdaw. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Keletihan dan kelesuan tanpa makanan secukupnya, keluarga Rohingya gembira kerana akhirnya tiba di Bangladesh, selepas beberapa hari menunggu dan bersembunyi. Apabila ditanya di mana mereka akan pergi seterusnya, "Siapa yang akan membawa kami, kami akan ke sana. Di mana sahaja." – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Pantai Shah Porir Dwip dikawal pengawal pantai dan polis sempadan Bangladesh. Kerajaan Bangladesh komited memberi laluan selamat kepada pelarian, tetapi masih melakukan pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa masuk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.Perahu kembali ke Teknaf dipenuhi dengan sekumpulan pelarian lain yang bermalam di Shah Porir Dwip. Ia termasuk wanita sakit, yang terpaksa dibawa dengan kerusi plastik. Bot belayar laju membelah kepekatan malam, melalui kabel elektrik yang tergantung dan mengelak daripada sebarang halangan yang diketahui pengemudinya. Tiba di Teknaf tanpa wang, mereka sekali lagi terpaksa mencari jalan untuk meneruskan kehidupan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 30 September, 2017.
Komen