Festival Yosakoi Pulau Pinang masuk tahun ke-7 


David ST Loh

PERARAKAN Yosakoi merupakan festival Jepun yang penuh berwarna-warni diadakan di Padang Kota Lama George Town. Acara ini anjuran Kelab Pink Hibiscus sejak Mac 2013.

Acara dimulakan dengan ucapan terima kasih oleh kelab berkenaan untuk kutipan RM1.6 juta daripada penduduk Pulau Pinang berikutan gempa bumi di Tohoku, Jepun pada 11 Mac, 2011. Sejak itu, acara ini diadakan setiap tahun pada Sabtu kedua setiap Mac iaitu tarikh terdekat ulang tahun bencana alam itu.

Ratusan peserta mengambil bahagian dalam acara tarian dan program kesihatan yang diinspirasikan daripada aktiviti kebudayaan Jepun. Tahun ini, sebanyak 130 penari berarak di jalanan, menari dan menyanyi bagi meraih anugerah pada malam itu.

Peserta Cosplay, yang diketuai oleh pengasas Cure Cosplay dari Jepun, Tatsumi Inui turut mengambil bahagian dalam perarakan itu. Mengenakan busana ala Shakespeare, beliau berinteraksi dengan orang ramai dan turut bergambar.

Acara utama pada perarakan itu adalah perarakan Muzukake Mikoshi. Tahun ini, dua mikoshi menyertai perarakan berkenaan.

Mikoshi adalah sebuah kuil kecil mudah alih yang dibawa oleh penganut sebuah kuil semasa perayaan. Semasa perayaan, kuil ini dibawa oleh kanak-kanak yang disiram dengan air oleh penonton yang melintas jalan. Mereka percaya orang dewasa yang menyiram air pada kanak-kanak akan mendapat nasib baik. – 11 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen