Syurga burung Teluk Intan


David ST Loh

TELUK Intan yang terletak di tebing Sungai Perak, satu ketika dahulu pernah jadi tempat berlindung manusia penghijrah selepas Melaka dijajah Portugis pada 1511. Tempat itu sekarang sekali lagi jadi syurga penghijrah- tetapi kali ini untuk burung.

Hakisan tanah di hulu dan mendapan tanah menjadikan Sungai Perak semakin cetek dan beberapa pulau kecil terbentuk berhampiran Teluk Intan. Pulau ini sekarang menyediakan perlindungan dan rumah kepada burung penghijrah dari seluruh dunia.

Di salah sebuah pulau, yang masih tidak bernama, ribuan burung berlindung. Pulau tersebut letaknya hanya 3km dari Menara Condong Teluk Intan dan keajaiban alam semulajdi yang dikendongnya masih tidak diketahui banyak pihak, termasuklah penduduk tempatan.

Malaysia terletak dalam laluan penerbangan Asia Timur- Australasian yang menyediakan tapak rehat strategik dan mustahak untuk burung penghijrah yang bergerak antara musim dingin di Asia Tenggara dan Australia dengan tapak pembiakan mereka di China, Jepun, Korea, Mongolia dan Siberia.

Bagaimanapun, burung penghijrah yang menjadikan pulau Teluk Intan syurga kini boleh dilihat sepanjang tahun. Setiap hari, ketika matahari terbenam, hampir 30,000 hingga 40,000 ekor burung kembali ke sarang masing-masing.

Kami melawat pulau tersebut baru-baru ini untuk menikmati sendiri keajaiban pemandangan tersebut menggunakan khidmat bot diuruskan Ah Loon, tauke Teluk Intan River Cruise.

Pengalaman menakjubkan diselangi cerita Ah Loon tentang masa kanak-kanaknya yang dihabiskan mengemudi sungai tersebut, juga imbauan nostalgia tentang tingginya air sungai dahulu sehingga membolehkan Teluk Intan jadi pelabuhan penting pada kurun ke-19 untuk pemindahan sumber asli bijih timah dan pertanian ke merata tempat. – 16 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kami dari Teluk Intan Firefly Marvels Cruise ( www.facebook.com/fireflymarvels ) ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas ulasan anda mengenai jelajah sungai di sekitar bandar Teluk Intan. Teluk Intan yang sememangnya kaya dengan hidupan tapi tidak diketahui ramai. Selain daripada burung tempatan dan migrasi, pada waktu malam, sekitar tebing Sungai Perak juga dikoloni oleh ribuan kelip-kelip. Kami dari Firefly Marvels giat memerhati dan menyelidik spesis yang mendiami kawasan Teluk Intan selain daripada aktiviti river cruise pada siang hari. Persatuan Pelancongan Teluk Intan juga giat membaikpulih lokasi bersejarah sekitar Teluk Intan agar pelawat tempatan mahupun luar negeri dapat mengamatinya. Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih. Nescaya dengan adanya lebih ulasan dan laporan mengenai bandar kami yang indah, lebih orang akan mengetahuinya lalu menyayangi alam sekitar kami. Majulah Teluk Intan.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Firefly Marvels · Ulasan