Ahli Parlimen DAP mahu SPRM siasat Ku Nan 


Gan Pei Ling

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng (kanan) di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Disember, 2017.

AHLI Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meminta agensi anti rasuah itu menyiasat Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa kumpulan penduduk memeras pemaju dalam perjuangan mereka membantah projek pembangunan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Tengku Adnan Tengku Mansor telah mendakwa (dalam satu kenyataan hari Isnin) bahawa terdapat kumpulan penduduk yang membantah projek-projek meminta wang dari pemaju.

“Ini jelas satu peras ugut, peras ugut korporat. Saya ingatkan ia hanya berlaku di kalangan yakuza di Jepun.

“Ini tuduhan jenayah yang serius. Siapa yang Tengku Adnan maksudkan, saya mahu SPRM siasat,” Lim memberitahu pemberita di luar pejabat SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, SPRM perlu memanggil Tengku Adnan untuk siasat kumpulan penduduk yang didakwa, pemaju dan projek pembangunan yang terlibat.

Lim turut membuat aduan berasingan dengan SPRM bagi menyiasat pembayaran sebanyak RM70,000 hingga RM750,000 yang didakwa diberi kepada beberapa penduduk rumah panjang di TTDI.

Beliau berkata terdapat percanggahan laporan media mengenai pembayaran itu, di mana satu laporan memetik seorang peguam pemaju berkata wang itu untuk membaiki rumah-rumah panjang yang rosak, manakala satu lagi laporan memetik penduduk berkata ia dibayar sebuah yayasan kepada kontraktor untuk tujuan yang sama.

SPRM, kata Lim, perlu menyiasat sama ada pembayaran itu sebagai insentif atau dorongan supaya penduduk rumah panjang menerima rancangan pembangunan yang dicadangkan pemaju.

Minggu lalu penduduk rumah panjang membantah rancangan pembangunan itu dan berkata mereka tidak pernah menerima wang yang didakwa. – 20 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen