Wan Saiful tinggalkan Ideas hujung bulan ini


WAN Saiful Wan Jan, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), akan meninggalkan kumpulan pemikir yang diasaskan bersama dua rakannya 12 tahun lalu.

Katanya, keputusan meninggalkan kumpulan pemikir itu bukan satu keputusan yang mudah tetapi sesuatu yang harus diambil sekarang.

“Selepas sembilan tahun hidup saya membina Ideas, bukan mudah untuk saya meninggalkannya.

“Tetapi saya melihat langkah saya selepas ini satu langkah yang harus saya ambil sekarang atau saya akan menyesalinya sampai bila-bila,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Ideas, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut langkah seterusnya itu.

Wan Saiful akan meninggalkan Ideas berkuat kuasa 28 Februari ini dan tempatnya diganti oleh Pengarah Penyelidikan Ideas Ali Salman yang dilantik sebagai pemangku CEO, tambah kenyataan itu.

Wan Saiful merupakan CEO pengasas Ideas sejak kumpulan pemikir yang dimulakan di London itu memindahkan pejabatnya ke Kuala Lumpur pada 2009.

Ideas ditubuhkan oleh Wan Saiful bersama dua rakan karibnya, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz dan Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad semasa mereka menuntut di United Kingdom, sebagai kumpulan pemikir yang mengetengahkan isu-isu dasar awam berasaskan prinsip-prinsip legasi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Bermula dengan dua kakitangan, Ideas hari ini menggaji 24 orang dan menjana pendapatan tahunan lebih RM3 juta.

Ideas juga menggerakkan dua projek kebajikan iaitu sebuah pusat anak autisme untuk keluarga miskin bandar di Selangor dan sebuah sekolah anak pelarian di Kuala Lumpur. – 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen