Muhyiddin kemuka usul tukar Speaker Dewan Rakyat


Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof ada usul daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan beliau sebagai speaker Dewan Rakyat dan timbalannya Nga Kor Ming.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2019

MOHAMAD Ariff Md Yusof mengesahkan ada usul daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan beliau sebagai speaker Dewan Rakyat dan timbalannya Nga Kor Ming.

“Ya, ada,” katanya, ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight, namun enggan mengulas lanjut.

Awal hari ini, akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau melaporkan Muhyiddin mengemukakan usul itu untuk dibawa pada hari pertama sidang Dewan Rakyat, yang ditetapkan bermula pada 13 Julai.

Usul itu diserahkan ke Parlimen petang semalam, kata laporan.

Malaysiakini juga memetik Nga mengesahkan usul berkenaan telah dimasukkan ke dalam agenda mesyuarat.

Usul berkenaan bagaimanapun mengecualikan Ahli Parlimen Batu Pahat Abdul Rashid Hasnon.

Rashid adalah antara kumpulan ahli Parlimen PKR yang keluar parti dan menarik sokongan daripada gabungan Pakatan Harapan pada hujung Februari.

Sementara itu, Nga juga dipetik berkata usul Muhyiddin di luar kebiasaan Parlimen kerana ini adalah kali pertama seorang perdana menteri mahu menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Lazimnya, jawatan itu kosong apabila Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya, atau penyandang jawatan meninggal dunia, atau letak jawatan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dari Umno disebut-sebut akan dinamakan sebagai calon timbalan speaker. – Bernama, 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen