Pendekatan lembut Malaysia jinakkan pengganas


Radzi Razak

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan Ketiga di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau berkata program pemulihan militan itu melibatkan ulama kerana ia ada kaitan dengan soal pembetulan akidah sebelum mereka yang ditahan sebagai suspek militan ini boleh kembali semula menyertai masyarakat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 November, 2017.

PENDEKATAN lembut Malaysia, termasuk menggunakan ulama dalam program pemulihan militan berjaya mencapai kejayaan hampir 100%, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, modul program pemulihan militan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Penjara itu memulihkan 97.5% pengganas dalam tempoh antara 2001 hingga 2012.

Kata beliau, program pemulihan militan itu melibatkan ulama kerana ia ada kaitan dengan soal pembetulan akidah sebelum mereka yang ditahan sebagai suspek militan ini boleh kembali semula menyertai masyarakat.

“Ketika seseorang menjalani proses itu, kita perbetul soal akidah, beliefs (kepercayaan) dia dikembalikan, sebab itu kita perlukan ulama. 

“Kemudiannya kita bawa ahli keluarga asimilasi untuk asimilasikan mereka kembali,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan Ketiga di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam ucapannya, Zahid berkata daripada 289 pengganas yang menyertai program pemulihan antara 2001 hingga 2012, seramai 282 atau 97% berjaya dipulihkan.

Zahid baru-baru ini mempertahankan pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin sebagai pakar anti keganasan dan merupakan “aset” dalam program pemulihan militan di bawah KDN.

Beliau mempertahankan Zamihan selepas beberapa pihak termasuk parti politik, pemimpin agama dan ahli akademik mendesak agar kedudukan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dikaji semula kerana pada pandangan mereka, sebelum memulihkan orang lain, Zamihan sendiri perlu dipulihkan terlebih dahulu.

Zamihan beberapa kali terjerat dalam kontroversi susulan kenyataan dan pandangannya yang lancang dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Sementara itu, Zahid menjelaskan program pemulihan militan itu dilakukan oleh pasukan 35 pakar terdiri daripada ulama, ahli psikologi, anggota perubatan dan beberapa pakar lain yang bekerja untuk mengembalikan suspek pengganas itu kepada masyarakat.

Program pemulihan itu menggunakan modul pelbagai bahasa yang diolah sendiri oleh KDN berasaskan pengalaman menangangi pelbagai ancaman termasuk komunis serta kumpulan radikal seperti Al-Maunah, Jemaah Islamiyah, Daesh dan Islamic State (IS).

Sementara itu, Indonesia turut memuji pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam menangani soal keganasan dan pelampau ini dan mahu menjadikannya sebagai contoh ikutan.

“Kita juga lihat cara pendekatan lembut seperti cara Malaysia boleh tarik kembali mereka yang “dicuci otak” (brainwash),” kata Menteri Koordinator Politik, Hukum, dan Keamanan republik itu, Wiranto. – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen