Peguam negara masih tunggu Raja Petra minta maaf


Diyana Ibrahim

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali menegaskan tidak akan menunggu lama untuk menyaman penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang didakwa memfitnah sehingga menjejaskan reputasinya pada sidang media di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Oktober, 2017.

PEGUAM Negara, Mohamed Apandi Ali masih menunggu permohonan maaf daripada Raja Petra Kamaruddin sebelum meneruskan tindakan menyaman penulis blog itu yang didakwa menfitnahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi tempoh secara khusus tetapi menegaskan tidak akan menunggu lama permohonan maaf daripada blogger tersebut.

“Saya tunggu dia minta maaf, kalau masih tidak, saya akan saman. Saya tidak tahu mengapa dia letak nama saya. Saya  tidak kenal dia. Kita bercakap mengenai reputasi saya di sini,” kata Apandi pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ditanya adakah saman yang akan dibuat berdasarkan kapasiti peribadi atau sebagai peguam negara, katanya ia lebih bersifat peribadi.

“Sudah tentu ia atas kapasiti peribadi. Ia bercampur, maksudnya fitnah itu dibuat atas nama peguam negara dan itu adalah Mohamed Apandi.”

Sebelum ini, Apandi membuat laporan polis terhadap Raja Petra kerana dakwaan fitnah jenayah.

Raja Petra, atau lebih dikenali sebagai RPK, menulis dua artikel bertajuk “Strong Rumours Surrounding the AG Part 1 and Part 2”.

Antara dakwaan yang dilemparkan oleh Raja Petra terhadap Apandi ialah kononnya peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan China, yang dirujuk sebagai “rakan kongsi perniagaan” Sultan Johor, berhubung satu kes yang memihak kepadanya.

Raja Petra juga menulis tentang kononnya pertemuan pada 2015 antara hakim kanan – bekas Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria; Ketua Hakim Negara, Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin dengan seorang ahli politik kanan bagi membincangkan dakwaan menjatuhkan kerajaan.

Apandi menafikan dakwaan Raja Petra mengenai rasuah dan kononnya bagaimana beliau mendapat jawatan peguam negara dalam tulisan itu dan berkata akan menyaman Raja Petra “sampai ke akhirat”. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen