Bukit Aman siasat Raja Petra kerana fitnah peguam negara


Muzliza Mustafa

POLIS Malaysia memulakan siasatan terhadap penulis blog Raja Petra Kamarudin yang menetap di Manchester, England berhubung dakwaan menyiarkan artikel yang memfitnah Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dalam blognya Malaysia Today, kata seorang pegawai kanan polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan Jenayah kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian

“Kita sudah mengambil alih siasatan selepas laporan dibuat (di Kuantan dan Putrajaya),” katanya dalam satu mesej ringkas kepada The Malaysian Insight

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya. Kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 pula membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Najmuddin bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana polis akan menyoal siasat Raja Petra yang kini hidup sebagai pelarian di United Kingdom.

Raja Petra kini hidup dalam buangan di UK selepas melarikan diri daripada dakwaan menghasut dan fitnah di Malaysia pada 2006.

Dakwaan itu bersabit dengan tulisan-tulisannya mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor dengan pembunuhan kejam model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai siasatannya terhadap Malaysia Today yang menyiarkan artikel Raja Petra.

Laporan polis dan juga kepada SKMM dibuat susulan dua tulisan Raja Petra bertajuk “Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1 and Part 2” yang terbit di blog Malaysia Today pada Jumaat dan Ahad.

Antara dakwaan yang dilemparkan oleh Raja Petra terhadap Apandi ialah kononnya peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan China, yang dirujuk sebagai “rakan kongsi perniagaan” Sultan Johor, berhubung satu kes yang memihak kepadanya.

Raja Petra juga menulis tentang kononnya pertemuan pada 2015 antara hakim kanan – bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria; Ketua Hakim Negara Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dengan seorang ahli politik kanan bagi membincangkan dakwaan menjatuhkan kerajaan.

Apandi menafikan dakwaan Raja Petra mengenai rasuah dan kononnya bagaimana beliau dapat jawatan peguam negara dalam tulisan-tulisan itu dan berkata akan saman Raja Petra “sampai ke akhirat”.

“Serius saya akan saman dan saya sedang berunding dengan peguam di UK. Ini tidak lain hanya berita palsu yang dibuat dengan niat jahat,” kata Apandi seperti dipetik oleh media.

Raja Petra menyerang dengan tulisannya yang kedua dengan bertanya bahagian manakah yang palsu dalam tulisan itu.

“Banyak yang disentuh dalam tulisan itu, jadi Apandi perlu jelaskan yang mana palsu kalau dia rasa itu palsu,” kata penulis blog itu. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen