Zahid akan ditahan esok, didakwa pada Jumaat


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan notis serah diri untuk ditahan tadi jam 1.45 petang untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM jam 3.00 petang esok, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menerusi kenyataan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Oktober, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi telah diberi notis supaya hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) esok, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Menurut Lokman, presiden Umno itu dijangka akan didakwa pada Jumaat.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno telah diberikan notis serah diri untuk ditahan tadi jam 1.45 petang untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM jam 3.00 petang esok, 18hb Oktober, 2018 (Khamis) dan dijangka akan didakwa keesokan harinya (Jumaat),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk tiga hari berturut-turut minggu lepas.

Zahid disiasat bagi kesalahan rasuah berkaitan sebuah yayasan amal, Yayasan Akal Budi yang milik keluarganya dan beliau adalah pengerusi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menyeleweng RM800,000 dari yayasan tersebut untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Anak Zahid, Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan abangnya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi juga dipangggil untuk membantu siasatan.

Lokman juga menyeru ahli Umno berkumpul di ibu pejabat SPRM pada jam 9 malam esok dan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pada jam 8 pagi sebagai tanda sokongan kepada Zahid.

“Ayuh kita sama-sama hadir mempertahankan presiden kita yang kini menjadi sasaran regim zalim Mahathir DAP. Jangan biarkan presiden kita keseorangan! 

“Korbankan hanya sehari untuk kita mempertahankan maruah Umno yang kini cuba dirobek oleh sang penguasa,” katanya.

Beliau juga berkata ahli tidak perlu gentar kerana himpunan itu diadakan secara aman dan tidak menyalahi undang-undang.  – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen