CUKAI Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikenakan ke atas barangan berbeza dan jumlahnya tidak boleh ditafsirkan mencecah 16%, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.
Katanya, adalah salah untuk mencampurkan cukai jualan 10% dan cukai perkhidmatan 6% bersama-sama kerana cukai jualan hanya dikenakan pada tahap pengeluaran dan cukai perkhidmatan hanya dikenakan pada tahap perkhidmatan.
SST dijadualkan diperkenalkan semula pada September.
“Jadi, kita tak boleh gabung (kedua-duanya) jadi 16%,” lapor The Star yang memetik kenyataan ahli Parlimen Bangi itu kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Ong yang sebelum ini adalah pegawai khas kepada menteri kewangan sebelum dilantik jadi timbalan menteri berkata, sesi taklimat akan diadakan tidak lama lagi untuk semua ahli Parlimen berkaitan penggantian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan SST kerana ada sebilangan wakil rakyat yang masih keliru dengan perbezaan dan kesannya.
Ong menambah yang SST akan memberi kesan kepada penurunan kos sara hidup.
“Ada banyak barangan yang terkesan dengan GST dikecualikan SST,” katanya.
GST adalah cukai kepenggunaan pelbagai tahap yang luas, sementara SST hanya dikenakan sekali dan untuk barangan dan perkhidmatan tertentu sahaja. Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengumumkan kadar SST.
Usaha pengenalan semula cukai itu sudah dimulakan kerajaan dengan penetapan kadar GST 0% dan usul yang akan dibentangkan untuk penghapusan GST dan pengenalan SST pada sidang Parlimen yang bermula hari ini.
Ong menambah yang GST diperkenalkan pentadbiran terdahulu pada 2015 menjana perolehan sebanyak RM42 bilion setahun.
SST pula hanya dijangka mengutip RM21 bilion tetapi menurutnya ia masih bermanfaat kerana “ia akan dikembalikan kepada rakyat”. – 17 Julai, 2018.
Komen