Jangan ambil risiko pilih pembangkang, kata Najib


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Perdana Menteri Najib Razak mengingatkan rakyat agar memilih dengan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 16 Julai, 2017.

RAKYAT Malaysia tidak seharusnya merisikokan masa depan di tangan pembangkang, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib yang juga presiden Umno mengingatkan rakyat agar memilih dengan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kekuasaan tidak jelas, hala tuju tidak jelas, kemampuannya tidak jelas. Jadi dalam keadaan kabur, siapa sebenarnya kuasa penentu hala tuju dasar dan sebagainya.

“Banyak orang kata mereka meletakkan masa depan dalam risiko yang tinggi. Jadi mengapa sebagai rakyat biasa kita perlu buat demikian?” katanya semasa majlis Rumah Terbuka Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Barisan Nasional (BN) akan berdepan pertempuran sengit pada pilihan raya akan datang bagi menentang blok pembangkang PH yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dua mantan timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim.

Najib berkata tidak seperti PH, rakyat boleh melihat Umno sebagai parti terbesar mewakili orang Melayu itu mempunyai struktur lebih jelas dan kukuh untuk menjadi sebuah kerajaan mentadbir negara.

“Kita ada ‘track record’ selama 60 tahun yang juga jelas dan ada visi di mana kita sedang menggubal TN50 maknanya kita tahu Umno mampu mentadbir Umno masa kini.

“Dan kita akan dapat tahu hala tuju Umno, semuanya jelas. Jadi soalnya kenapa kita patut letak dan ambil risiko kepada satu pihak yang kita tengok tidak menentu dan tidak jelas,” katanya merujuk kepada PH.

Mengulas mengenai tiadanya wakil DAP dalam kedudukan teratas PH, Najib mendakwa wujudnya unsur mainan politik kerana secara asasnya kekuatan parti bergantung kepada mereka yang mempunyai bilangan kerusi paling banyak.

“Jadi ikut pada andaian kita, DAP akan dapat kerusi lebih kalau DAP lebih, Hakikatnya DAP mempunyai kuasa mutlak. Tidak kira bagaimana susunan kepimpinan mereka tapi akhirnya ia berdasarkan pada kerusi Parlimen.

“Begitu juga dalam Barisan Nasional, sebab Umno ada bilangan kerusi banyak maka kuasa mutlak pada Umno,” katanya.

Ditanya mengenai kerjasama antara dua seteru politik Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dalam PH, perdana menteri berkata secara tidak langsung ia akan mencetuskan tanda tanya kepada rakyat berhubung agenda sebenar.

“Adakah Dr Mahathir masih kekal dengan kenyataannya pada 1997 yang menuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin tidak ada moral, maka tidak boleh memimpin negara.

“Jadi dalam kepala rakyat sekarang ini adakah tuduhan itu tidak betul pada asalnya atau dia sanggup korbankan prinsip tersebut untuk tujuan politik hari ini atau ada muslihat lain.

“Jadi ini semua tidak dijawabnya sendiri. Selagi beliau tidak jawab maksudnya orang akan sangsi ini merupakan mainan dan sandiwara politik,” katanya.

Pengumuman kepimpinan baharu PH pada Jumaat lalu menyaksikan gabungan bekas perdana menteri Dr Mahathir dan timbalannya, Anwar dinamakan sebagai pengerusi dan ketua umum manakala Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden pakatan pembangkang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden.

Pengumuman itu menarik perhatian minat pemimpin Umno di mana kebanyakan mempersoalkan siapa mempunyai kuasa penentu apabila PH meletakkan tiga pemimpin teratas di barisan hadapan kepimpinan mereka. – 16 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen