PH tangguh umum senarai pemimpin minggu depan


Zulkifli Sulong

Barisan ketua parti dalam Pakatan Harapan yang menghadiri sidang media bersama selepas mesyuarat Majlis Presiden hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Jun, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) hari ini menangguhkan keputusan mengenai siapa yang bakal mengetuai pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) minggu depan.

Selepas mesyuarat tiga jam di pejabat Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata PH akan mengemukakan barisan Majlis Presiden kepada Pendaftaran Pertubuhan (RoS) minggu depan.

“Kita mencapai banyak progres dalam mesyuarat hari ini, dan insya Allah minggu depan barisan kepimpinan utama akan diumumkan,” kata Wan Azizah pada sidang media bersama selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir pula berkata, partinya mencadangkan struktur berbeza berbanding yang diputuskan sebelum ini.

Namun, katanya ia belum diputuskan dan yakin akan diselesaikan minggu depan sebelum pendaftaran PH dibuat kepada RoS.

“Kita ada cadangkan struktur berlainan tetapi belum dapat dihabiskan (perbincangan),” kata Mukhriz.

Dalam sidang media hari ini beliau juga berkata, senarai cadangan yang diumumkan oleh sebuah laman sesawang adalah tidak benar.

“Senarai itu kami tidak sahkan,” katanya.

Menurut Ketua Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah, ia dinafikan sendiri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin.

“Dalam mesyuarat tadi Muhyiddin menafikan senarai itu,” kata Saifuddin.

Laman itu melaporkan, Bersatu mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi manakala presidennya, Muhyiddin sebagai presiden PH.

Wan Azizah yang dicadangkan sebagai pengerusi sebelum ini dicadangkan sebagai penasihat.

Pada mesyuarat sebelum ini, Dr Mahathir  dicadangkan sebagai penasihat bersama Anwar Ibrahim manakala Wan Azizah sebagai pengerusi.

Semua ketua parti gabungan dicadangkan sebagai naib pengerusi iaitu Muhyiddin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen