PRESIDEN MCA Liow Tiong Lai menyeru Perdana Menteri Najib Razak agar membantu menghentikan serangan yang dibuat terhadap taikun Malaysia, Robert Kuok.
“Saya telah menyampaikan perasaan masyarakat Cina mengenai serangan tidak berasas terhadap Robert Kuok kepada YAB PM.
“Kami harap perdana menteri akan campur tangan untuk menghentikan isu ini. Kuok telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Liow dalam catatan Twitter hari ini.
Beberapa pemimpin Umno termasuk Najib telah membuat komen terhadap taikun berusia 92 tahun itu susulan tuduhan Raja Petra Kamarudin dalam blognya yang mengatakan Kuok menyalur dana kepada DAP.
Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman dikatakan memberitahu Kuok supaya “tidak lupa daratan”, manakala Najib pula berkata Kuok tidak mungkin mengumpul harta kekayaannya tanpa bantuan kerajaan Malaysia.
Kenyataan paling kasar dikeluarkan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz yang menggelarkan Kuok sebagai “pondan” dan mencabarnya supaya kembali ke Malaysia untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi biro keharmonian agama MCA Ti Lian Ker menyelar Nazri dengan berkata serangan seperti itu bukan budaya Malaysia dan Kuok adalah ahli perniagaan berjaya yang telah memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia secara umum.
Pejabat Kuok semalam mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan dalam pertimbangan mengambil tindakan perundangan kepada penulis blog, Raja Petra Kamarudin kerana menuduhnya cuba menjatuhkan kerajaan Najib. – 27 Februari, 2018.
Komen