Persatuan pelajar kritik UM isu penginapan siswa


Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mengkritik pentadbiran universiti berkenaan selepas kira-kira 9,000 pelajar Universiti Malaya gagal ditempatkan di kediaman kampus tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2022.

KIRA-KIRA 9,000 pelajar Universiti Malaya gagal ditempatkan di kediaman kampus institusi berkenaan tahun ini, menurut Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany).

Badan pelajar mengkritik universiti kerana gagal menangani isu penginapan sambil menambah ramai pelajar B40 berpencapaian tinggi gagal mendapat penempatan di kolej kediaman universiti itu.

“Umany mengutuk sikap tidak bertanggungjawab pihak universiti kerana mendiamkan diri dalam isu yang serius ini.

“Hampir 9,000 mahasiswa-mahasiswi gagal menepati kolej kediaman pada tahun ini,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Umany berkata punca isu itu adalah disebabkan pengambilan pelajar UM yang berlebihan tahun ini dan kekurangan ketelusan dalam sistem aplikasi kolej kediaman universiti.

“Sebagai inisiatif, kami berhasrat untuk mengambil alih jawatankuasa pemilihan penghuni penempatan kolej kediaman tetapi permintaan ini telah ditolak oleh pihak pentadbiran banyak kali.

“Sebelum ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta pihak HEP mengumumkan syarat pemilihan kolej kediaman secara berterusan.

“Dukacitanya, tiada sebarang pengumuan rasmi oleh HEP sehingga akhir semester,” katanya.

Umany menggesa pihak universiti memberikan hak pentadbiran KMUM untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut.

“KMUM meminta HEP mengumumkan syarat-syarat proses pemilihan kolej kediaman dan oleh itu KMUM perlu mengambil alih tanggungjawab HEP untuk menyebarkan maklumat kepada pelajar.

“Kami menuntut hak pentadbiran diberikan kepada KMUM dan supaya rumah sewa kesatuan dikembalikan di bawah pentadbirannya,” tegas badan pelajar itu. – 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen