Rafizi, kerani bank didapati bersalah bocor maklumat NFC 


Asila Jalil

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Mahkamah itu mendapati Rafizi dan seorang kerani bank, Johari Mohamad bersalah kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Februari, 2018. 

AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

Hakim Zamri Bakar berkata pendakwaan membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. 

Kedua-duanya diarah membela diri oleh Zamri pada 25 Oktober tahun lalu. 

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan pendakwaraya Lailawati Ali dan Steven Chin manakala Ahmad Nizam Hamid mewakili Rafizi dan Latheefa Koya mewakili Johari.

Pada 2011, Rafizi mendedahkan pembelian unit kondominium mewah oleh syarikat penternakan nasional itu. 

NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil. 

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 juga mendedahkan NFC gagal mencapai sasarannya untuk membiak 8,000 baka lembu di Gemas, Negeri Sembilan selain menyatakan kegagalan pengurusannya.

Pada November 2016, Rafizi kalah dalam saman fitnah dan diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Salleh dan NFC kerana mendakwa pinjaman bank yang diambil oleh syarikat itu digunakan untuk membeli kondominium.

Nizam memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan dibenarkan oleh mahkamah. 

“Kami memohon penangguhan hukuman dan dibenarkan oleh mahkamah dengan jaminan RM15,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat permohonan hari ini. 

Semasa sesi mahkamah, Lailawati meminta kedua-dua Rafizi dan Johari dikenakan denda RM500,000 dan hukuman penjara enam bulan.

“Ia memberikan mesej kepada orang awam seolah-olah ia bukan kesalahan serius (jika hukuman itu kurang), maka saya meminta hukuman yang lebih berat untuk dikenakan kepada kedua-duanya,” katanya.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala Johari didakwa di bawah Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta sama.

Nizam memohon untuk dikurangkan hukuman kepada Rafizi manakala Latheefa memohon agar Johari tidak dipenjarakan kerana beliau tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada kebocoran itu.

“Dan jika mahkamah memutuskan untuk memberikan denda, jumlah itu tidak harus berlebihan dan harus ada masa yang munasabah untuk membayar denda itu,” kata Latheefa.

Rafizi yang bercakap kepada pemberita selepas sesi itu berkata beliau berasa lega dijatuhi hukuman penjara 30 bulan tanpa denda.

“Jika saya dikenakan denda pada jumlah yang tinggi, saya tidak tahu bila saya boleh bayar dan ia akan memberi kesan besar kepada kempen Pakatan Harapan (PH),” katanya. – 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen