Jangan biarkan perkara ini berulang, kata bapa kepada JPN 


Looi Sue-Chern

Muniandy Ratnam (dua kanan) menerima kunjungan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Hospital Seberang Jaya hari ini. Ketika pertemuan itu Lim turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Muniandy.– Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue Chern, 29 Januari, 2018.

BAPA kepada pelajar yang koma selepas cuba membunuh diri di Pulau Pinang, merayu kepada Jabatan Pendidikan agar memastikan guru-guru mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menghukum pelajar. 

Anak perempuan Muniandy Ratnam, M. Vasanthapiriya, 13 dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik gurunya di SMK Methodist Nibong Tebal, Rabu lalu. 

Dia cuba membunuh diri dengan menggantung diri di rumahnya selepas pulang dari sekolah pada hari yang sama. 

Terdahulu timbalan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Jamil Mohamed memberitahu The Malaysian Insight jabatan itu sedang menyiasat sama ada SOP dipatuhi atau sebaliknya di sekolah berkenaan.

Katanya, sekiranya berlaku kecurian, guru berkenaan perlu melaporkan kepada guru disiplin sekolah. 

“Guru disiplin kemudiannya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya benar pelajar melakukan kesalahan,” kata Jamil. 

Muniandy 54, berkata, dia tidak membuat tuduhan tetapi hanya tidak mahu perkara yang sama berulang kepada pelajar lain di masa akan datang.

“Saya tidak katakan guru-guru bersalah. Tetapi saya nasihatkan kepada jabatan untuk pastikan guru mengikut SOP apabila mereka perlu menyelesaikan sebarang isu dengan pelajar mereka. 

“Jangan biarkan perkara sebegini berulang. Itu sahaja yang saya minta,” katanya kepada pemberita di Hospital Seberang Jaya hari ini selepas menerima lawatan Ketua Menteri Lim Guan Eng. 

Muniandy berkata, dia menceritakan perkara itu kepada Lim. 

Vasanthapiriya menegaskan dia tidak mencuri telefon bimbit guru terbabit. Tetapi guru berkenaan tidak mempercayainya. 

Dia didakwa disoal oleh tiga orang guru, dan dipukul oleh salah seorang guru berkenaan di hadapan pelajar lain serta dikurung dalam sebuah bilik di bilik guru selama hampir lima jam. 

Guru berkenaan dan suaminya kemudian membawa Vasanthapiriya pulang ke rumah untuk memaklumkan perkara itu kepada kedua ibu bapanya. 

“Guru berkenaan maklumkan insiden itu kepada saya. Dia kata CCTV menunjukkan seroang pelajar India berambut panjang berada dalam bilik guru. 

“Saya tanya anak saya adalah dia mengambil telefon itu. Dia cakap tidak. 

“Saya minta guru berkenaan untuk tunggu sekejap dan berikan saya masa untuk dapatkan kepastian daripada Vasanthapiriya,” katanya.

Ketika dia keluar dnegan guru berkenaan dan suaminya untuk menyelesaikan masalah itu, Vasanthapiriya menggantung diri dalam biliknya. Ketika ibu bapanya pulang malam itu, dia ditemui tidak sedarkan diri.

Muniandy berkata keadaan anaknya stabil tetapi masih dalam waktu kritikal. 

Keluarganya menunggu keputusan imbasan CT malam ini, katanya. 

“Semua organnya berfungsi dengan normal, kecuali otak, mata dan anggota badan.”

Muniandy berkata Vasanthapiriya, merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan sangat rapat dengannya. 

“Saya takut kehilangan anak saya. Hampir seminggu saya tidak mendengar dia memanggil “papa”. Dia sangat manja. Dia selalu suapkan nasi kepada saya masa makan malam. 

“Dia juga sama seperti remaja lain. Dia mahu kelihatan cantik. Dia akan beritahu saya bagaimana dia mahu luruskan rambut dan memakai pakaian cantik untuk sambutan perayaan,” katanya. 

“Isteri saya (A. Malarveily, 51) menjadi tempat dia meminta duit poket. Dia akan cakapkan perkara yang baik kepada ibunya. Dia (Malarveily) sangat sedih.”

Lim yang memberikan bantuan RM1,000 kepada Muniandy berkata, beliau bersimpati dengan keluarga terbabit.

“Anak mereka sangat bijak dan cantik. Sangat sedih dengan apa yang berlaku. Saya harap keluarga ini tabah,” katanya. 

“Doktor mencuba yang terdaya untuknya. Dia bernafas melalui alat bantuan pernafasan. Kini terpulang kepadanya.”

Lim turut menggesa polis dan Jabatan Pendidikan untuk menjalankan siasatan berhubung insiden itu. 

“Kita perlu tahu apa yang menyebabkan kanak-kanak ini melakukan perkara yang drastik,” katanya. 

Polis dan JPN kini sedang menyiasat insiden berkenaan. 

Guru terbabit kini ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Prai sementara menunggu hasil siasatan dalaman oleh jabatan berkenaan.– 29 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen