Bekas pengarah AIAC saman Thomas, 12 yang lain


Bekas pengarah AIAC N Sundra Rajoo memfailkan saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, pegawai anti rasuah dan kerajaan Malaysia kerana penahanan dan pendakwaan secara salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2021.

BEKAS pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) N Sundra Rajoo memfailkan saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, pegawai anti rasuah dan kerajaan Malaysia kerana penahanan dan pendakwaan secara salah. 

Peguamnya TJ Lee dilaporkan berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini. 

Awal bulan lalu, Sundra Rajoo dilaporkan menuntut pampasan RM10 juta dan permohonan maaf bertulis daripada bekas peguam negara Tommy Thomas, pegawai anti rasuah dan kerajaan kerana ditahan secara salah dan pendakwaan berniat jahat.

Notis tuntutan itu menyatakan sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi atau tiada tawaran balas yang munasabah dibuat, beliau akan memulakan tindakan sivil.

Dalam tuntutannya terhadap Thomas, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull dan beberapa yang lain dinamakan dalam notis, Sundra Rajoo berkata sebagai pengarah AIAC, beliau diberikan imuniti penuh daripada didakwa.

Katanya, beliau ditahan pegawai SPRM pada 11 November, 2018 dan memaklumkan kepada pegawai terbabit beliau ada imuniti daripada ditangkap dan ditahan sebagai pegawai kanan AIAC.

Tetapi beliau ditahan sepanjang malam oleh SPRM dan dibawa ke hadapan majistret di mana permohonan perintah reman tujuh hari terhadapnya, ditolak.

Dalam notis tuntutan itu, Sundra Rajoo berkata beliau dipaksa meletak jawatan sebagai pengarah AIAC kerana diugut oleh bekas peguam negara berkenaan.

Pada Disember, 2019 Mahkamah Tinggi memutuskan Sundra Rajoo mempunyai imuniti daripada prosiding jenayah. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Thomas merupakan peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan. 

Selain Thomas, 12 defendan lain dalam saman Sundra Rajoo adalah bekas pegawai khas Thomas, Khong Hui Li; bekas pegawai SPRM Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T Nesavan, G Sharan; berkhidmat dengan pegawai SPRM Hasmizzy Md Hasim; Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar; bekas DPP Mohd Zaki Mohd Salleh; bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohamad Shukri Abdull; SPRM; dan kerajaan Malaysia.

Lee berkata Mahkamah Tinggi menetapkan 12 November untuk pengurusan kes. – 15 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen