PAS akan terjejas selepas prestasi cemar jadi kerajaan, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Penganalisis politik percaya PAS akan hilang banyak kerusi dalam PRU15 kerana prestasinya sejak jadi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

PRESTASI dan kontroversi melibatkan pemimpin PAS sejak mereka jadi sebahagian anggota kerajaan akan menjejaskan pengaruh parti Islam itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik.

Mereka berpandangan PAS secara umumnya akan tetap selesa di kubu kuatnya sendiri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi tidak akan dapat sokongan menyeluruh untuk jadi parti Melayu alternatif.

Pensyarah politik Dr Mazlan Ali percaya PAS akan hilang banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana prestasinya sejak jadi kerajaan.

“Prestasi PAS akan menurun, kita jangkakan parti ini akan hilang lebih banyak kerusi kerana isu-isu yang melingkari pemimpin mereka dan prestasi dalam kerajaan juga tidak memberangsangkan.

“Biarpun di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah memang diketahui umum parti ini mempunyai penyokong yang tegar tapi untuk kali ini PRU15, PAS mungkin akan berdepan kesukaran terutama di Terengganu,” katanya.

PAS sekali lagi membentuk kerajaan di Terengganu selepas menang 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, mengulangi sejarah mentadbir negeri selepas pilihan raya umum 1999.

Mazlan bagaimanapun melihat Terengganu akan jadi cabaran besar pada PAS dalam PRU15 berbanding Kelantan dan Kedah.

“Berdasarkan pemerhatian saya, ramai rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS disebabkan tak macam Umno yang beri gula-gula. PAS pun tak nampak apa pembangunan yang mereka buat. Mereka beri alasan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kerana itu saya rasa Umno punya kelebihan, lagipun Umno di Terengganu kalah semasa PRU14 disebabkan isu nasional 1Malaysia Development Berhad. Kerusi yang Umno kalah bukan ada beza majoriti yang banyak,” kata pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

PAS secara umumnya akan tetap selesa di kubu kuatnya sendiri seperti di Kelantan, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

PAS jadi sebahagian kerajaan di Putrajaya tahun lalu selepas bersama membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) susulan percaturan politik yang menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin melantik tiga menteri dan lima timbalan menteri PAS menganggotai barisan Jemaah Menterinya.

PAS juga kemudian mengetuai pentadbiran baharu Kedah menggantikan kerajaan PH pimpinan Mukhriz Mahathir.

Beberapa pemimpin PAS di pusat dan negeri bagaimanapun pun mencetuskan kontroversi termasuk melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19, antaranya exco Perak Razman Zakaria, bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali, dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Setiausaha PAS Kelantan yang juga bekas timbalan menteri pertanian dan industri makanan, Che Abdullah Mat Nawi turut dikecam kerana didakwa tidak menghormati undang-undang apabila dilapor menikah melalui telefon dengan menggunakan khidmat jurunikah di Thailand.

Bekas menteri undang-undang Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS, turut hebat dikritik kerana kenyataan mengelirukan di Dewan Rakyat berkenaan Ordinan Darurat yang turut mengundang teguran keras Yang di-Pertuan Agong.

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi juga berpendapat pengaruh PAS semakin merosot melihat pada prestasi pemimpinnya yang kurang memuaskan.

Penyokong PAS sendiri pun kecewa dengan pemimpin mereka yang dilihat pasif dan tidak lagi mengangkat isu-isu kepentingan umat Islam setelah jadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kedudukan dan populariti PAS semakin terjejas selepas isu prestasi mereka dalam kerajaan PN kurang memuaskan malah mendatangkan kemarahan rakyat.

“Jadi pengaruh PAS semakin merosot dan sukar nak ganti Umno. Di Kedah dan Kelantan berdasarkan sentimen semasa juga merosot,” katanya.

Sementara itu pensyarah politik di Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Tayeb berkata pengaruh PAS hanya sekadar Kelantan, Terengganu dan sedikit Kedah.

Berdasarkan prestasi keseluruhan PAS, beliau tidak nampak bagaimana parti itu mampu menjadi alternatif kepada Umno di luar kubu kuatnya.

“Prestasi PAS dalam kerajaan PN juga tidak memberangsangkan dan dipenuhi skandal. Jelas terbukti PAS tidak berkemampuan dan bersedia untuk memerintah di peringkat persekutuan,” katanya. – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen