Dr Mahathir silap kata graduan terpaksa buat pelbagai kerja


Bede Hong

Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkata ramai ahlinya menjadi pemandu Grab, Uber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

KETUA Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin berkata Dr Mahathir silap mengatakan graduan di Malaysia terpaksa membuat pelbagai kerja termasuk menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber untuk menampung pendapatan.

“Ada banyak peluang. Apa yang tak kenanya?...Kita tengok ramai Puteri (ahli) jadi pemandu Grab, Uber.

“Saya rasa apa yang beliau cakap tu tak betul,” kata Mas Ermieyati kepada pemberita selepas pelancaran sayap Puteri Umno, Azalea di Kuala Lumpur hari ini. 

Rabu lalu, Dr Mahathir berkata graduan Malaysia sekarang ini terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber disebabkan kegagalan sistem pendidikan menyediakan mereka untuk pasaran pekerjaan.

“Mereka terpaksa menjual nasi lemak kerana mereka tak ada peluang kerja. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan mentadbir negara kita ini supaya orang yang terlatih dengan ilmu yang tinggi dapat pekerjaan yang dapat memberi pendapatan yang sama dengan tahap kebolehan mereka,” kata Dr Mahathir ketika sesi soal jawab Harapan Baru: Policy Talks melalui Facebook.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata graduan hanya memanfaatkan peluang mendapatkan pendapatan sampingan dan trend ini tidak harus diberikan tafsiran sebaliknya.

“Saya tak rasa ini langkah bijak dari Dr Mahathir. Hari ini kita tengok ramai orang, termasuk akauntan jadi pemandu Uber.

“Saya fikir tak salah untuk semua orang dapatkan pendapatan sampingan. Kita tengok ramai rakyat Malaysia hari ini ada pilihan, sama ada nak naik teksi atau Uber.

“Bagi Wanita Muda, sekarang ini saya rasa kita perlu fikirkan cara untuk tambah pendapatan.”

Kadar pengangguran belia ialah pada 11%, iaitu tiga kali lebih tinggi daripada purata kebangsaan semasa sebanyak 3%.

Dr Mahathir juga berkata Putrajaya sepatutnya meningkatkan sistem pendidikan, bukannya menaikkan bajet untuk Perjabat Perdana Menteri (PMO).

“Apa yang kita nampak kerajaan mengurangkan peruntukan bajet untuk pendidikan.

“Macam (peruntukan) universiti, bajet dikurangkan kepada RM1.1 bilion dan kita dapati lebih banyak diperuntukkan untuk PMO. Tiga hingga empat kali ganda berbanding waktu saya (memerintah),” katanya.

“Kami dapati peruntukan untuk PMO terlalu tinggi dan kami percaya yang peruntukan setinggi ini tak termasuk dalam bajet dan digunakan untuk memberi elaun dan gaji yang tak ada dalam bajet.

“Pendidikan, peluang pekerjaan dan pelaburan mempunyai ikatan yang kuat. Jika tidak, ia tak akan serasi,” katanya. – 20 Januari, 2018.

[Berita penuh di sini]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen