Pelawak tampar penerbit depan Najib di dialog TN50


Diyana Ibrahim

Insiden spontan pelawak Mat Over menampar penerbit filem terkemuka David Teo berlaku di depan perdana menteri dan isteri pada Dialog Transformasi Nasional (TN50) malam ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2017.

SUASANA Dialog Transformasi Nasional (TN50) yang diadakan bersama Perdana Menteri Najib Razak malam ini bertukar tegang apabila pelakon komedi Sulaiman Yassin secara tiba-tiba mengasari penerbit filem David Teo.

Kejadian itu berlaku ketika penerbit itu cuba bertanyakan soalan kepada perdana menteri, sebelum pelawak yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Over meluru ke arah Teo dan menamparnya.

Kekecohan itu berlaku di depan perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor.

Teo sebelum itu menyatakan pandangannya supaya moderator dialog yang juga pelakon Rosyam Noor tidak hanya membuka soalan kepada ahli seni yang duduk di barisan depan, dan tidak mengetepikan peserta di barisan belakang.

Bagaimanapun, Rosyam berjaya menenangkan keadaan dan pada akhir majlis, beliau meminta Teo dan Mat Over tampil ke pentas dan saling bermaafan.

Sementara itu, pelawak yang terkenal menerusi siri komedi Pi Mai Tang Tu ketika diminta reaksinya berkata ia cuma gimik dan tidak ada perselisihan faham antara mereka.

“Tidak ada apa-apa ia cuma gimik, kita baik-baik saja,” katanya kepada media pada majlis yang diadakan di dewan bankuet kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Teo ketika ditemui media menafikan insiden itu gimik.

“Saya tidak kenal siapa dia, saya tidak jangka keadaan ini,” katanya.

Katanya, ketika mikrofon diserahkan kepadanya, beliau cuba menegur Rosyam yang dilihat tidak melayan permintaan para artis di barisan belakang yang mahu bertanya soalan.

“Awalnya saya cuba menyampaikan dengan cara santai tapi saya terperanjat Rosyam seperti marah dan jeling saya.

“Saya cuma mahu pengenalan yang santai sepertimana yang patut berlaku di atas pentas bulat ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau sedia memaafkan pelawak itu dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

Beliau juga menafikan wujud salah faham antaranya dengan pelawak itu sebelum ini.

“Saya ditampar dan terjatuh berhampiran ketua pengarah Finas. Saya secara peribadi tidak kenal dia, tidak kenal perangai dia, jadi kita maafkan saja,” katanya. – 17 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Siapa yang mulakan budaya "OVER", over mencuri, over menipu, over menyangak, over berbilion ringgit, 'over react' dilakukan oleh Mat Over....hehehehe

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Noordin KCD · Ulasan