PKR minta semua lantikan politiknya di Kelantan letak jawatan


Diyana Ibrahim

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata keputusan itu sudah disampaikan kepada pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mei, 2017.

PKR mengarahkan semua lantikan politiknya di dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan serta-merta sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat parti itu malam tadi.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata keputusan itu sudah disampaikan kepada pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

“PKR membuat keputusan semua lantikan politik di dalam kerajaan negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta,” katanya kepada media selepas mesyuarat di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Walaupun menerima keputusan yang dibuat PAS, PKR menolak alasan diberikan parti Islam itu sebagai punca retaknya hubungan mereka.

“Selama ini PKR sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan antara kedua parti,” kata beliau.

Tindakan itu diambil susulan keputusan PAS mengakhiri tahaluf siyasi dengan PKR sebagaimana diumumkan parti Islam itu selepas Majlis Syura membuat ketetapan baru-baru ini.

Justeru, Wan Azizah berkata kedudukan wakil rakyat PAS  di Selangor pula akan diputuskan barisan kepimpinan PKR bersama Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sekembali beliau daripada lawatan rasmi di Brussel.

Terdahulu daripada itu, PAS menerima usul sebulat suara pada muktamar tahunan ke-63 untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dengan alasan parti itu tidak menghormati perjanjian antara mereka seperti tidak menyokong usaha RUU355.

Dewan Undangan Negeri  Kelantan mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri PKR iaitu Mohd Roslan Puteh bagi kawasan Guchil. – 17 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen