MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, agar meminta maaf selepas menuduh beliau nepotisme dalam pemberian kontrak kerajaan.
Surat itu juga meminta Rafizi untuk menarik balik kenyataannya yang mendakwa Unit Perancang Ekonomi, yang dipimpin oleh Rahman di Jabatan Perdana Menteri, memberi kontrak bernilai jutaan ringgit kepada syarikat pengurusan acara Pico Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd, yang ketua pegawai eksekutifnya adalah Raslan Dahlan, didakwa sebagai abang Rahman.
Rafizi juga mendakwa syarikat itu diberikan kontrak tanpa menjalani proses tender terbuka.
“Peguam saya, daripada Messrs Raja Riza & Associates, sudah mengeluarkan surat tuntutan, bertarikh 5 Januari kepada Rafizi melalui kiriman pos berdaftar dan serahan tangan pada hari yang sama,” kata Rahman dalam satu kenyataan di Facebook.
“Bagaimanapun, surat tersebut tidak dapat diserahkan secara sendiri kerana Rafizi tidak hadir di pejabatnya, pusat perkhidmatan Parlimen Pandan.
“Percubaan kedua dibuat semalam di alamat yang sama, tetapi Rafizi tidak berada di pejabatnya lagi.
“Susulan itu, surat tuntutan diterima oleh Mohd Shariffudin, yang dipercayai kakitangan di pusat khidmat.”
Beliau berkata prosiding undang-undang akan dimulakan jika ahli Parlimen Pandan itu gagal memberi respons kepada permintaannya dalam tempoh tujuh hari.
Rahman sebelum ini berkata, beliau melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi mengenai perkara itu.
Beliau juga menafikan tuduhan Rafizi yang Raslan adalah abangnya.
Rafizi, walaupun mengakui bersalah, dilaporkan berkata Rahman bebas mengambil tindakan undang-undang jika mendapati kenyataan yang dibuat sebagai fitnah. – 9 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan