Terima kasih Anwar Ibrahim, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Radzi Razak

Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedar akan keperitan dihadapi Anwar kerana beliau bertanggungjawab menghantar bekas ketua pembangkang itu meringkuk di Penjara Sungai Buloh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.

CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terhutang budi dengan Anwar Ibrahim kerana sanggup menerimanya untuk bekerjasama menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak.

Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau sedar akan keperitan dihadapi Anwar kerana beliau bertanggungjawab menghantar bekas ketua pembangkang itu meringkuk di Penjara Sungai Buloh.

“Saya terhutang budi dan ucap terima kasih kepada Anwar kerana sanggup bekerjasama dengan pasukan termasuk diri saya sendiri dalam usaha menyelamatkan negara bertuah ini.

“Saya sedar betapa rasa Anwar umpamanya, di masa saya memerintahlah dia dihantar ke Sungai Buloh. Bukan mudah baginya menerima saya. 

“Ya, boleh berjabat tangan tapi terima saya sebagai pimpinan parti lawan Umno bukan mudah. Sebab itu kita ambil masa lama tapi akhirnya keutamaan diberi pada perjuangan,” kata Dr Mahathir ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Dr Mahathir turut mengakui keluarga Anwar juga merasa tertekan dengan tindakan yang dilakukannya terhadap Anwar itu.

Saya sedar betapa rasa Anwar umpamanya, di masa saya memerintahlah dia dihantar ke Sungai Buloh. Bukan mudah baginya menerima saya, kata Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.

“Bukan sahaja Anwar, keluarganya tentu merasai tekanan apabila Anwar dimasuk dalam tahanan. Mereka menderita 20 tahun dan untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah buat keluarga Anwar,” kata Dr Mahathir di hadapan perwakilan PH yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir memecat Anwar yang ketika itu adalah orang nombor dua tertinggi dalam pentadbiran negara dan Umno pada 2 September 1998.

Pada 14 April 1999, Anwar disabitkan bersalah atas empat kesalahan korupsi kerana campur tangan dalam siasatan polis berkaitan dakwaan salah laku seks dan dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun oleh mahkamah tinggi.

Pada 2 September 2004, ketua umum PKR itu dibebaskan selepas hampir enam tahun dipenjara apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya menentang hukuman berkaitan kesalahan liwatnya.

Anak Anwar, Nurul Izzah Anwar yang merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada guna rakyat membenci Dr Mahathir kerana “orang boleh bertaubat”.

Pada konvensyen hari ini, beberapa perwakilan dilihat menangis ketika Dr Mahathir sedang berucap, termasuklah anak lelakinya, Mukhriz.

Dr Siti Hasmah yang kelihatan sebak bersama-sama isteri Mohammad Sabu, Normah Alwi  selepas ucapan Dr Mahathir Mohamad  yang berterima kasih dan terhutang budi kepada Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Januari, 2018.

Jabatan Penjara hari ini pula, mengesahkan Anwar akan selesai menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 8 Jun ini, berdasarkan amalan memendekkan hukuman di bawah peraturan penjara.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan berhubung kesalahan liwat terhadapnya.

Dr Mahathir berkata, beliau sedar perjuangannya untuk menjatuhkan Umno memerlukan kerjasama pembangkang kerana parti itu sukar ditumbangkan jika beliau bergerak sendirian.

“Kalaupun saya tubuh sebuah parti bersendirian dan cuba jatuhkan Umno dan Barisan Nasional saya sedar saya tak mampu menjatuhkan parti yang sudah menyeleweng ini. 

“Oleh itu saya ketepikan perasaan terhadap musuh saya yang mengecam saya selama saya jadi perdana menteri dan presiden Umno kerana dalam perjuangan manusia ada yang diutamakan dan ada yang terpaksa dibelakangkan,” katanya.

Tambahnya, sejarah dan kenangan hanya akan mengganggu tumpuan untuk mencapai kejayaan dalam perjuangan.

“Seperti yang saya kata bukan mudah bagi saya untuk menyertai gerakan yang dahulu tak senang dengan saya tetapi oleh kerana usaha untuk menjatuhkan Najib lebih utama dari perasaan saya yang lain maka saya sanggup bekerjasama dan mendengar kecaman terhadap parti saya dahulu.

“Saya tidak pertahankan terhadap kecaman yang dilempar kepada parti yang saya memimpin selama 22 tahun, bukan sahaja saya, pihak parti lawan ini pun menghadapi masalah untuk menerima saya, musuh mereka sekian lama, dan adalah bermacam-macam yang dilakukan oleh saya merupakan penganiyaan kepada mereka,” katanya.

Bukan sahaja Anwar, keluarganya tentu merasai tekanan apabila Anwar dimasuk dalam tahanan. Mereka menderita 20 tahun dan untuk melupakan peristiwa ini bukan mudah buat keluarga Anwar, kata Dr Mahathir hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2018.

Malah, Dr Mahathir berkata gelaran “Maha Firaun” dan “Maha Zalim” yang dilabelkan kepadanya suatu ketika dahulu juga tidak menjadi halangan baginya bekerjasama dengan pembangkang.

“Bagi mereka, saya memang pun ‘Maha Zalim, Maha Firaun’ itu gelaran. Saya tahu saya bukan zalim bukan Firaun. Itu bukan halangan untuk kerja besar kita. 

“Kerja besar kita menyelamatkan negara tercinta ini. Seperti saya sebutkan bukan mudah parti dulu yang dulu seteru saya, menerima saya tapi Alhamdulillah mereka sedar akan pentingnya kerajaan hari ini dijatuhkan.

“Dan kerajaan ini tak mungkin dijatuhkan tanpa sokongan majoriti rakyat terutama orang Melayu di desa, yang tidak begitu arif dalam politik itu ada perasaan tertentu yang halang mereka sokong parti lain selain parti kebiasaan mereka, Umno,” kata Dr Mahathir lagi. – 7 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ingatkan Tun dah lupa yang beliau lah yang bertanggungjawab ke atas anwar dan keluarga..tapi agak mustahil untuk seseorang yng terpaksa meringkuk dalam penjara untuk memaafkan dengan hanya kata2, mungkin ada agenda tersendiri yang dirancang anatar mereka.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan