Maszlee mahu Asyraf Wajdi mohon maaf isu dakwaan komunis


Maszlee Malik berkata ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

MASZLEE Malik menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan daripada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kerana memfitnah kandungan komunis dalam buku teks sejarah Tingkatan 4.

Bekas menteri pendidikan itu membuat tuntutan berkenaan dalam surat tuntutan kepada Asyraf.

Awal minggu ini Asyraf berkata bahawa komunis dimuliakan sebagai pejuang kemerdekaan di dalam buku teks sejarah Tingkatan 4 dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah sebelum ini.

“Ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati.

“Saya harap tindakan ini menyedarkan semua pihak, tidak kira dari parti mana, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan, apatah lagi ia melibatkan pendidikan negara, pendidikan anak-anak kita,” tulis Maszlee yang merupakan ahli Parlimen Simpang Renggam di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi dalam satu catatan di Facebook pada Rabu mendakwa buku matapelajaran Sejarah Tingkatan 4 mengandungi aspek yang mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan, dan katanya ia seolah-olah usaha terancang dan sengaja dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi

kerajaan.https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/302172

“Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.

Asyraf Wajdi juga berkata bahawa orang Melayu difitnah sebagai hamba kepada penjajah Jepun.

Menurutnya kerajaan sekarang perlu menarik semula buku teks sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan fakta yang dimanipulasi mengenai sejarah negara ini.

Sebagai maklum balas terhadap dakwaan Asyraf Wajdi, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata bahawa kerajaan PH tidak terlibat dalam penyemakan buku teks sekolah.

Teo dilaporkan berkatan bahawa kurikulum dan buku teks sudah dikaji pada 2017 dan bahawa sejarawan, pensyarah universiti awam, guru sejarah dan pegawai kurikulum dari panel pakar kurikulum sejarah serta buku teks sejarah terlibat dalam proses tersebut.

Maszlee turut segera memberi maklum balas dengan mengatakan bahawa Asyraf harus menyoal menteri pendidikan Umno pada 2017 dan bukannya bertanya kepadanya (Maszlee) dan PH.

Kementerian Pendidikan mengatakan bahawa kandungan buku teks itu dimuktamadkan pada April 2018 sebelum PH berkuasa. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen