Kami tidak tahu mengenai pindah milik tanah, kata lembaga pengarah Felda


Pihak lembaga pengarah mendakwa mereka hanya diberi taklimat mengenai cadangan pembangunan di atas tanah berkenaan oleh pihak pengurusan Felda terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2017.

LEMBAGA pengarah Felda tidak mengetahui hal pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak, kata Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Samsudin Othman.

Samsudin memberitahu sidang akhbar di Johor Baru yang pihak lembaga itu hanya diberi taklimat mengenai cadangan pembangunan di atas tanah oleh pihak pengurusan Felda terdahulu, lapor The Star Online.

Ahli lembaga berkata mereka hanya diberitahu yang projek pembangunan termasuklah sebuah hotel bertingkat yang boleh menjana pendapatan kepada Felda.

Samsudin, yang mewakili Jawatankuasa Perunding Peneroka dalam lembaga pengarah Felda, berkata selain butiran Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), dan kelulusan yang diberikan, mereka tidak tahu siapa di belakang projek itu.

Jawatankuasa itu mewakili kira-kira 112,635 peneroka dari 317 penempatan Felda di seluruh negara.

“Pengurusan terdahulu Felda tidak telus ketika membuat sebarang keputusan perniagaan dan mereka tidak berunding dengan kami,” kata Samsudin semasa sidang media.

Beliau berkata jawatankuasa itu hanya mengetahui mengenai urus niaga tanah Jalan Semarak daripada laporan akhbar.

Beliau berkata pihak lembaga itu akan membantah projek itu jika mengetahui tanah itu akan dipindah milik.

Minggu lalu, negara didedahkan dengan penyelewengan membabitkan tanah Felda, yang dianggarkan bernilai RM1 bilion, dipindah milik kepada sebuah syarikat swasta dalam keadaan mencurigakan.

Menurut laporan, Synergy Promenade Sdn Bhd, pemaju KLVC, dikatakan telah membayar Felda hanya RM270 juta bagi tanah itu.

Pengerusi Felda, Shahrir Abdul Samad berkata ia sudah membuat laporan polis berhubung pemindahan hak milik tanah itu, dan berusaha mendapatkan semula tanah itu.

Pemindahan hak milik tanah kontroversi itu berlaku semasa pentadbiran pengerusi terdahulu, Mohd Isa Abdul Samad.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, yang sedang disiasat dalam beberapa kes rasuah melibatkan Felda, tidak menjawab pertanyaan mengenai pemindahan hak milik itu.

Bekas pembantunya, Zahid Mat Arip, memberitahu The Malaysian Insight skandal terbaru Felda digunakan untuk mengalih perhatian daripada isu 1Malaysia Development Bhd. – 27 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen